Bilal dan Abah meruntun perasaan

MENGANGKAT keindahan azan dan ketokohan sahabat Rasullah dalam spektrum lelaki autisme, telefilem Bilal dan Abah bakal menyentuh emosi penonton dengan kisah sarat pengajaran.

Pengarahnya, Pali Yahya berkata aktor Azhan Rani merupakan calon paling tepat bersandarkan kemampuan untuk menggalas watak utama bagi telefilem yang mengambil latar Mekah dan Madinah itu.

Katanya, naskhah yang diinspirasikan daripada sirah Bilal bin Rabah itu mempunyai keistimewaan tersendiri apabila penggambaran berlangsung di Mekah dan Madinah pada 2023 sebelum disambung di tanah air tahun ini.

“Semua urusan dilancarkan walaupun ketika merakamkan dahulu beberapa babak akhir di Mekah dan Madinah waktu itu hanya ada Azhan dan Ummi Nazeera sahaja, manakala pelakon lain masih belum dipilih.

“Jadi ketika itu kita sempurnakan adegan Bilal iaitu Azhan merealisasikan impian yang akhirnya membawa Bilal ke Tanah Suci mengerjakan umrah malah kisah ini bertepatan dengan suasana umat Islam mengerjakah haji.

“Selain menggabungkan barisan pelakon hebat serta plot meruntun perasaan, kami turut menonjolkan surau berusia lebih 100 tahun di Slim River, Perak sebagai lokasi penggambaran,” katanya ketika tayangan istimewa Bilal dan Abah di TV AlHijrah, baru-baru ini.

Menurutnya, bukan hanya Azhan Rani dan Ummi, semua barisan pelakon memberikan persembahan cemerlang termasuk aktor veteran, Hisham Harun selaku Abah yang sememangnya menepati jangkaan.

“Ikutkan ketika merakamkan adegan di Tanah Suci itu plotnya belum dikembangkan bahkan untuk karakter lain juga belum disenaraikan namun kita teruskan antara lain adalah ‘locked’ dulu Azhan.

“Melihat hasilnya memang tepat Azhan dipilih sebagai pemuda autisme dan keanak-anakan, digandingkan pula dengan Harun selaku ayah yang sarat sifat pelindung,” ujarnya.

Penerbit Mache Allstar United Datuk Arisz Ab. Rahman, berkata Bilal dan Abah yang  dipaparkan di TV AlHijrah malam ini merupakan telefilem pertama untuk stesen televisyen terbabit.

“Sebenarnya telefilem ini adalah produksi ketiga terbitan Mache Allstar United yang berlatarkan Tanah Suci, namun menjadi naskhah pertama disiarkan di TV AlHijrah.

“Melihat maklum balas ramai selepas tayangan khas ini, kami yakin Bilal dan Abah memenuhi jangkaan kerana ini bukan kisah kekeluargaan sahaja, sebaliknya sarat nilai kasih sayang sesama Islam.

“Siapa tahu andai ada banyak permintaan, kita boleh pertimbangkan untuk hasilkan prekuel kisah bapa dan anak istimewa itu,” katanya.

Telefilem yang akan ditayangkan pukul 9 malam ini di TV AlHijrah itu berkisar pemuda autisme, Billal yang sangat mengagumi Bilal bin Rabah hingga bercita-cita menjejakkan kaki ke Mekah untuk melaungkan azan.

Bagi melunaskan impiannya, Bilal yang gemar ke surau berusaha mengumpul wang untuk mengerjakan umrah dengan mencari tin serta besi buruk.

Begitupun, kekurangan Bilal dijadikan alasan untuk teman sekampungnya, Jalal (Luqman Hafidz) menunjukkan perasaan benci terhadapnya selain difitnah sebelum akhirnya detik manis dikecapi insan istimewa itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok