KES permohonan perceraian penyanyi Datuk Nora Ariffin dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli yang masih belum berkesudahan ibarat drama bersiri K-pop yang tidak berkesudahan. Cumanya, drama K-pop bikin hari mencair adakala tumpang berbunga, namun kes Nora dan Rushdi, sedikit hambar.
Begitupun, semakin hari semakin banyak drama juga hal dalam kain yang dijaja dalam media sosial sejak kisah cerai pertama mereka ‘terpokah’ pada 12 Ogos tahun lalu.
Sebulan selepas mendedahkan perpisahan, Nora yang bergelar isteri kedua kembali rujuk semula dengan Rushdi dan bersyukur kerana kemelut rumah tangganya sudah berakhir.
Tidak lama kemudian, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu kembali kecoh dengan keinginan cerai sehingga muncul di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor memfailkan permohonan perceraian atas alasan tidak tahan dengan gangguan pihak ketiga.
Diterima isteri pertama
Berbeza dengan kenyataan Nora, Rushdi pula tenang memaklumkan isteri pertamanya, Rose Aliza Sutrisno sudah terbuka menerima takdir poligami dan kehadiran Nora.
“Berdasarkan pemerhatian saya, keluarga isteri pertama sudah pun menerima perkahwinan saya dengan Datuk Nora.
“Mereka pun tidak merungut apa-apa. Namun, mereka berharap tidak ada berlaku sebarang dalam hubungan kami sekeluarga.
Saya berharap Nora terus mencintai dan menyayangi saya tapi kalau dia tiada lagi perasaan itu dan mahu mengambil tindakan lanjut saya dah tak boleh nak buat apa,” ujarnya.
Disebabkan kenyataan si suami, Nora ditebak sekadar mencuba nasib untuk menguji kasih sayang Rushdi tatkala meminta talak di mahkamah.
Malah, usai prosiding sebutan pertama tuntutan cerai, Nora berwajah lega apabila suami enggan melafazkan talak kerana mahu menyelamatkan rumah tangga.
“Seronok juga (suami membantah perceraian) sebab rupa-rupanya dia masih sayang pada saya, tetapi kena fikir langkah seterusnya macam mana.
Kami tak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah,” katanya tenang.
Luahannya yang disangkanya murni, namun natijahnya mengundang hentaman netizen yang tidak boleh menerima tindakan Nora, sekali gus menganggap penyanyi asal Kota Bharu, Kelantan itu mempermainkan soal perceraian.
Kekal pendirian
Sedar tindakan tersebut salah, Nora mempertahankan tindakannya bukanlah satu kegembiraan, sebaliknya respons spontan lantaran terkejut dengan pendirian suami.
“Bila suami tolak permohonan cerai, saya terkejut. Bila media tanya, saya secara spontan sebut ‘sayang juga dia pada saya’.
Saya tahu tidak sepatutnya berkata begitu. Itu bukannya perasaan seronok, tetapi kelemahan saya ialah bercakap spontan. Selepas kejadian itu saya tertanya sendiri kenapa bercakap begitu,” ujarnya.
Memasuki prosiding kedua di mahkamah Rabu lalu, Nora kelihatan teguh, nekad meneruskan perceraian.
“Saya tidak tahu sama ada kemelut ini berakhir dengan perceraian atau sebaliknya, tak berani nak cakap. Saya hanya buat apa yang sepatutnya.
“Saya hanya serahkan kepada pihak mahkamah, saya hanya buat yang terbaik, berdoa dan cuba usaha sebelum ini tetapi masih tiada jalan.
Jadi perlu ada mahkamah yang akan menilai dan jadi pengadil,” jelasnya.
Meski apapun yang terjadi, ada juga pihak sudah bosan mengambil tahu kisah rumah tangga Nora.
Berlanjutan dan tidak habis-habis sedangkan kedua-duanya sudah berusia, permasalahan Nora dan Rushdi seharusnya tidak meleret seperti pasangan usia 30-an.
Semoga urusan Nora dan suami dipermudahkan tanpa perlu lebih banyak membuka aib dan menjejaskan reputasi. Masing-masing pun orang ‘bergelar’, tepuk dada tanya selera.