GOOD Boys Go To Heaven bukan sekadar sebuah naskhah televisyen biasa, tetapi sebuah karya yang mampu merobek jiwa dan meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang menontonnya.
Itu gambaran awal naratif dalam sebuah karya genre thriller psikologi, terbitan Astro Original yang isu tabu, namun realitinya sangat dekat dengan tragedi-tragedi hitam dalam masyarakat hari ini.
Seawal episod pertama, pengarah Ariff Zulkarnain sudah ‘menghidangkan’ babak penuh emosi apabila seorang kanak-kanak, Ahyan (Sayf Mikael), dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemui dalam keadaan tragis akibat dibunuh dengan kejam.
Meski hanya episod pertama, visual tersebut sudah mampu memicu rasa ingin tahu mendalam penonton mengenai akar permasalahan yang berlaku dalam drama tulisan Mira Mustaffa yang juga pemenang Anugerah Festival filem Malaysia (FFM) itu.
Menurut Ariff, idea karya tersebut tercetus daripada isu semasa yang sering menghiasi dada akhbar.
“Kami kenal Mira sebagai penulis yang mampu menyampaikan cerita sebegini. Jadi, ini memang sudah ditakdirkan, cuma tentang mencari cerita apa yang dia mahu sampaikan kali ini.
Dia cepat mengenal pasti apa yang dia mahu. Cerita di mana datang dari tempat yang benar-benar mencengkam rakyat Malaysia hari ini.
“Kita melihat banyak perkara berlaku setiap hari dalam berita dan media sosial tetapi tiada yang menyamai emosi yang kita rasakan apabila mendengar cerita berkaitan kanak-kanak.
“Itulah yang mencengkam emosi semua. Perspektif Mira pula menarik kerana insiden itu berlaku dalam episod pertama lagi,” kata Ariff.

MENAMPILKAN RAMAI pelakon hebat, Good Boys Go To Heaven bakal bersiaran bermula 8 Mei nanti. – SADDAM YUSOFF
Mengakui proses pembikinan naskhah tersebut bukan sesuatu yang mudah, pembikin One Cent Thief itu juga mendedahkan kesihatan mentalnya turut terkesan sepanjang fasa awal pembikinan.
“Sejujurnya, ya (mencabar). Dari segi peribadi, sedikit mengganggu kesihatan mental saya sendiri.
Apabila dihidangkan dengan watak-watak dan terminologi masalah kesihatan mental bersama Mira semasa persediaan dan perbincangan awal, saya sendiri kena buat kerja ‘sekolah’.
“Bila kita buat homework, kita masuk ke dalam dunia itu, bagaimana nak membentuk watak tersebut. Itu yang sebenarnya menyerap tenaga saya,” ujarnya.
Murung, hiba
Pada masa sama, Ariff menceritakan bahawa suasana di set penggambaran sepanjang 50 hari diselubungi rasa hiba sehingga mendapat perhatian pihak pengurusan Astro.
“Saya kasihan kepada barisan tenaga kerja dan pelakon terutamanya Beto dan rakan-rakan lain.
“Kita ada 45 hingga 50 hari untuk habiskan penggambaran dan setiap hari ada babak emosional.
“Raja Jestina (Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro) cakap, bila dia datang melawat set, semua nampak murung dan hiba. Bukan kita sedih tapi kita tak nak kacau momentum persembahan watak,” luahnya.
Paling lama
Beban emosi berlarutan sehingga ke bilik suntingan, Ariff juga menyifatkan karya berkenaan paling lama mengambil masa suntingan dek subjek berat dalam setiap babak.
“Mereka bekerja keras untuk kekal dalam watak dan rasanya ini karya paling lama saya berada di dalam bilik ‘editing’.
“Ada hari yang saya hanya mampu siapkan satu babak sahaja sebab sangat berat. Bayangkan kalau ada 400 babak dan separuh daripadanya babak emosional,” tuturnya.
Sepanjang proses tersebut, Ariff bersyukur apabila dia masih boleh berehat daripada menyiapkan karya berkenaan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Saya bertuah sebab ada cuti hari raya membuatkan kita dapat keluar sekejap daripada dunia Good Boys ini sebelum sambung semula.
“Macam sesi terapi pula. Apa yang penonton rasa, itulah juga yang kami di belakang tabir rasa,” ujarnya lagi.
Drama yang mengangkat isu trauma tersebut bakal ditayangkan bermula 8 Mei setiap Jumaat menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Astro Citra (saluran 108).
Good Boys Go To Heaven dibintangi Beto Kusyairy, Zahirah Macwilson, Malek Maccrone, Amerul Affendi, Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Sayf Mikael. – HIBGLAM
