BERIKUTAN adanya adegan terlalu panas dalam filem terbitan produksi Jepun, Onpaku, beberapa babak terpaksa dipotong untuk kesesuaian tontonan rakyat Malaysia.
Perkara itu didedahkan wakil pengedar filem tersebut, Bjarne Wong yang memaklumkan pihaknya mematuhi garis panduan ditetapkan, selain menghormati budaya masyarakat setempat.
“Bagi filem genre seram ini, terdapat tiga babak panas yang telah dipotong demi mematuhi garis panduan tayangan di Malaysia.
“Saya sedia maklum tentang garis panduan penapisan filem di negara ini dan memutuskan untuk memotong adegan tertentu lebih awal sebelum menyerahkan Onpaku untuk disemak Lembaga Penapis Filem (LPF).
“Ini termasuklah adegan pelakon utama dirogol dan aksi ‘keterlaluan’ seorang nenek ketika melakukan pemujaan,” ujarnya.
Bjarne bagaimanapun menjelaskan pihaknya terlebih dahulu berbincang dengan sutradara, Shugo Fujii tentang babak yang perlu ditapis’
Apa yang dipersembahkan dalam Onpaku selepas melakukan beberapa potongan adalah hasil keputusan antara saya dan pengarah filem ini.
“Mujur tidak banyak babak yang perlu dibuang, sekali gus memudahkan kami memilih sendiri adegan yang dirasakan tidak sesuai untuk tontonan umum.
“Pengarah pula tiada masalah dengan pemotongan babak selagi tidak menjejaskan plot dan kronologi kisah” jelasnya.
Paling utama kata Bjarne, berdasarkan reaksi pihak yang berpeluang menonton Onpaku lebih awal, pemotongan babak terbabit tidak mencacatka jalan cerita.
Naskhah seram itu ditunjangi barisan pelakon hebat antarabangsa termasuk Josie Ho dan Lawrence Chou dari Hong Kong, serta bintang popular Jepun, Kazuya Takahashi.
Mengetengahkan alur cerita sarat pusingat plot dan elemen kejutan, Onpaku bakal menggegarkan pawagam Malaysia, Thailand, Singapura, Taiwan dan Hong Kong serentak pada 31 Ogos ini. – HIBGLAM