DUNIA kewartawanan hiburan tanah air kehilangan permata berharga apabila tokoh wartawan wanita disegani, Fauziah Rauf, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Menurut anak Allahyarhamah, Nilly Wahida Omar, ibunya terjatuh di rumah kira-kira seminggu lalu sebelum dibawa ke hospital akibat pendarahan di kepala.
Emak hanya ada darah tinggi dan makan ubat seperti biasa. Tapi selepas terjatuh, berlaku pendarahan pada kepala.
“Kami anak-anak berada di sisi emak semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Arwah pergi dengan tenang,” katanya.
Fauziah, 81, yang merupakan pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu.
Jenazah kini berada di kediaman keluarga di Selayang dan akan dibawa ke Masjid Selayang Baru pada jam 10 pagi untuk urusan mandi dan solat jenazah. Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin menyifatkan Allahyarham sebagai pelopor kewartawanan hiburan dan penerbitan majalah hiburan tempatan.
Allahyarham bukan sahaja cemerlang dalam bidang penulisan, malah antara wanita pertama menubuhkan syarikat penerbitan sendiri.
“Majalah PESTA dan akhbar Pentas Dunia diterbitkan menerusi Nilly Publication, satu pencapaian besar ketika itu.
“Sumbangannya diiktiraf apabila menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena AKIFMA 2017,” jelasnya.
Fauziah pernah berkhidmat sebagai wartawan Majalah Wanita di bawah akhbar Utusan Malaysia dan kemudiannya menubuhkan syarikat Nilly Publication yang menerbitkan majalah PESTA, Hawa serta Pentas Dunia.
Antara jasa besarnya ialah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa penyanyi tempatan menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menjuarai Grand Prix pada 2002.
Suaminya, Allahyarham Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan merupakan pelakon popular era 1990-an dan pengasas Persatuan Seniman.
Pemergian Fauziah bukan sekadar kehilangan kepada dunia kewartawanan tetapi turut memadam satu legasi penerbitan hiburan yang pernah menjadi nadi penghubung antara artis dan peminat. – HIBGLAM