Jalil Hamid meninggal dunia, kebumi lepas asar

PELAKON dan penyanyi veteran , Jalil Hamid disahkan meninggal dunia dalam tidur selepas bergelut dengan masalah jantung.

Berita tersebut disahkan anak perempuannya, Afiqah Jalil yang mendapati bapanya tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Betul (meninggal dunia). Ayah meninggal dalam tidur. Kami sedar pada pukul 12.30.

“Ayah dah solat subuh dan nak rehat. Ibu pergi periksa ayah dan mendapati ayah sudah tiada,” katanya ketika dihubungi HIBGLAM.

Dalam masa sama, Afiqah memaklumkan jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 selepas asar.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21.

Solat jenazah akan diadakan selepas asar di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam selepas asar,” ujarnya.

Sebelum ini, Allhayarham Jalil mendedahkan mengalami penurunan berat badan mendadak sebanyak 30 kilogram (kg) selepas mengalami masalah kesihatan jantung dan hilang selera makan.

Terdahulu, menerusi temu bual bersama HibGlam, arwah pernah berkongsi rasa kecewa apabila hasrat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu tidak kesampaian berikutan masalah kesihatan.

Menurut Allahyarham, dia menyimpat niat  sejak 2008 untuk menerima panggilan daripada Tabung Haji namun gagal memenuhi syarat kesihatan ditetapkan kerana masalah jantung yang dihadapinya.

Sepanjang karier, Allahyarham cukup terkenal dengan lagu lagu Ayam dan Raya.

Menerusi lakonan pula, Jalil pernah membintangi filem Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit serta puluhan drama sejak 1980-an.

Bakat lakonannya mencuri tumpuan sehingga memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Baginda) dalam Festival Filem Malaysia ke-13, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga) di Anugerah Skrin 2016.

Anak jati Masai, Johor itu  juga berjaya dinobatkan sebagai pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Bisik Pada Langit pada Anugerah Telenovela 2018. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok