MELIHAT kebangkitan filem tempatan yang bukan sahaja mampu melahirkan karya berkualiti tetapi mencatat kutipan pecah panggung luar biasa membuatkan semangat Datuk Remy Ishak semakin berkobar-kobar untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, berpendapat filem terbaharu lakonannya iaitu Keluang Man yang bakal menemui peminat pada 29 Mei ini juga mampu melepasi pasaran negara jiran.
“Banyak pembikin filem sejak akhir-akhir ini memberikan nafas baharu dalam karya mereka. Itu adalah satu petanda yang bagus untuk industri perfileman kita.
Saya sangat gembira dan terujalah. Seperti contoh filem Blood Brothers dan sekarang ini pula Keluang Man. Selepas ini cerita apa pula kan?
“Sebagai pelakon kita boleh bawa Keluang Man ke negara luar. Kita tidak malu dan berbangga. Sebelum ini KRU buat Cicakman, nampak perbezaannya serta ada kemajuan yang berkembang,” katanya kepada HibGlam selepas majlis tayangan perdana Keluang Man di sini, baru-baru ini.
Atas alasan itu, pelakon drama Hijrah Jannah itu teruja untuk lebih aktif dalam dunia lakonan lebih-lebih lagi dengan jalan cerita yang berbeza.
“Melihat kepada peningkatan ini saya rasa macam ‘hidup’ semula. Nak berlakon balik.
“Kalau kita tengok dulunya jalan cerita untuk sesuatu watak itu terhad tetapi sekarang ini banyak filem yang dihasilkan itu ‘best’ (seronok).
“Buatkan saya rasa semangat nak berlakon balik dan selepas ini ada filem lain,” jelasnya.
Dalam masa sama, Remy juga berpendapat, faktor kewangan menjadi punca untuk sesebuah karya dihasilkan dengan sangat berkualiti.
“Ada tenaga kerja dalam Malaysia, anak-anak muda yang berbakat besar. Boleh berkembang kalau kita banyak gunakan mereka.
“Kepakaran memang dari dulu sudah ada tetapi masalahnya tidak diketengahkan sebab bajet melakukan itu tiada, tidak dicapai. Macam mana nak ada kualiti bagus.
“Sekarang Astro Shaw melabur banyak sehingga menampakkan hasil,” ujarnya lagi.
Selain Remy, filem arahan Anwari Ashraf itu dibintangi Nas-T, Shweta Sekhon dan Datuk Rosyam Nor.
Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia memulakan penggambaran pada 4 Mei tahun lalu.
Filem berdurasi 132 minit itu akan menemui penonton Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini – HIBGLAM