ADAT menjadi artis berkumpulan, perlu mengambil risiko dan bersedia dengan segala kemungkinan termasuk pengunduran ahli atau berakhir dengan perpecahan.
Begitu juga dengan kumpulan Dolla yang pada asalnya dianggotai empat jelitawan muda, kini hanya tinggal bertiga.
Ketiadaan Syasya sejak membuat keputusan meninggalkan Dolla dan memilih untuk berkahwin tahun lalu tidak mematikan semangat Sabronzo, Tabby dan Angel meneruskan langkah dalam gelanggang seni.
Biarpun kelihatan canggung pada mulanya, lama-kelamaan peminat sudah boleh menerima bahawa Dolla hanya diwakili tiga wanita.
Enggan lagi menoleh ke belakang atau mengeluh soal ketiadaan Syasya, Dolla kembali dengan single baharu berjudul MWA! yang baru dilancarkan beberapa minggu lalu.
MWA! adalah single pertama kami sejak tinggal bertiga. Sudah setahun kami tak keluar lagu baharu. Peminat pun dah ramai yang rindu.
“Bila tinggal bertiga kami perlu fikirkan sesuatu yang baharu. Jadi kami tampil dengan konsep berbeza daripada sebelum ini dan harap karya dapat dihargai peminat,” kata Sabronzo membuka bicara.

SELEPAS setahun, Dolla muncul dengan lagu rancak berjudul MWA! yang bergenre Brazilian Punk.
Sewaktu mendengar dan menonton video muzik MWA!, boleh dikatakan ‘vibe’ yang dibawakan Dolla kali ini agak berbeza.
Mereka kelihatan lebih ranggi, berani, garang dan ganas. Persepsi tersebut diakui Dolla sendiri, bagi mereka itu adalah transisi dalam muzik demi masa depan karier.
“Memang tidak dinafikan konsep yang kami bawakan kali ini menunjukkan sisi kami yang lebih kuat. Jadi kami mahukan lagi yang benar-benar kuat sebagai single pertama kami selepas hanya tinggal bertiga. Kami pun dah lama tak ada lagu yang betul-betul rancak.
Biarpun lagu ini hanya berdurasi dua minit setengah tetapi lebih kerap anda dengar, anda akan lebih enjoy.
“Bunyi lagu ini memang agak lain. Jarang kita ada bunyi seperti ini di Malaysia. Inspirasi lagu ini adalah daripada genre Brazilian Punk.
MWA! adalah starter untuk era baharu Dolla. Selepas ini akan ada banyak lagi lagu daripada kami. Kami juga dalam perancangan untuk mengadakan konsert,” kata Dolla.
Untuk mencari arah tuju baharu dalam aliran muzik yang dibawakan merupakan satu cabaran buat Dolla. Lebih lima tahun peminat mereka sudah terbiasa dengan genre dan imej sebelum ini.
Demi menghidangkan kelainan berimpak, tiga wanita cantik ini mengakui pening kepala dibuatnya.
“Masalah ini juga menjadi salah satu faktor kenapa kami lambat untuk membuat ‘comeback’. Macam-macam perkara yang perlu difikirkan.
“Antaranya, apa identiti baharu yang mahu kami tampilkan. Banyak masa dihabiskan dalam studio semuanya demi mencari lagu yang sesuai untuk kami bertiga,” kata Sabronzo.
Pelbagai perancangan yang direncanakan Dolla pada tahun ini termasuklah mahu mengembangkan karier muzik mereka ke negara jiran, Indonesia.
Misi ke Indonesia
Namun, mereka akan terlebih dahulu menerjah negara seberang tambak untuk membuat konsert di sana.
“Banyak yang kami rancangkan pada tahun ini antaranya membuat persembahan di Singapura serta menyertai festival muzik di Indonesia.
Ini adalah langkah pertama kami untuk menawan peminat di Indonesia pula.
“Sebelum ini banyak dapat ‘feedback’ daripada peminat Indonesia. Namun, kami belum berkesempatan untuk mengembangkan muzik kami di sana. Jadi inilah masa yang paling tepat,” kongsi Tabby.

ENGGAN menghampakan peminat dari Indonesia, Dolla kini bersedia mengembangkan pengaruh mereka di negara itu.
Jika sebelum ini Dolla lebih banyak terpalit dengan isu berpakaian seksi dan sering kali menjadi tajuk utama media tempatan, tetapi sejak kebelakangan ini mereka sering terkena tempias gosip cinta.
Gosip cinta
Sabronzo misalnya dikatakan bakal mengikuti jejak langkah Syasya mengakhiri zaman bujang selepas jari manisnya dilihat terhias sebentuk cincin tanda hati sudah dimiliki.
Cincin ini sebenarnya pemberian seorang yang istimewa sempena hari lahir saya yang ke-30 baru-baru ini, tetapi siapa gerangan si pemberi, biarlah rahsia.
“Saya memang kurang gemar berkongsi kisah peribadi kepada umum. Jika dilihat dalam akaun media sosial saya pun, saya jarang berkongsi perihal peribadi. Semuanya pasal kerja sahaja.
“Kalau boleh, saya cuma mahu lindungi orang yang saya sayang daripada menjadi mangsa kecaman netizen. Biar saya seorang sahaja yang kena,” ujarnya.
Sementara itu, Angel pula digosipkan bercinta dengan dua selebriti kacak dan popular iaitu Nadhir Nasar dan Iqie daripada kumpulan Imsomniack.
Semuanya gara-gara Nadhir berkongsi fotonya dalam Instagram sewaktu mereka menghadiri sebuah acara anjuran majalah fesyen baru-baru ini.
Mungkin sebab saya seorang sahaja perempuan yang jalani penggambaran untuk majalah tersebut. Saya pun hadir tanpa anggota Dolla yang lain.
“Lagi pun jurukamera peribadi Nadhir mengambil gambar beberapa lagi artis yang hadir ke majlis tersebut.
“Mungkin sebab itu dia berkongsi gambar saya dalam Instagram,” jelas Angel.
Angel bagaimanapun tidak menafikan berkawan baik dengan bintang naskhah Projek: High Council itu.
Memang berkawan tetapi tak rapat. Sekadar ‘hi hi bye bye’. Sebab itu saya pun terkejut bila dia muat naik gambar saya.
“Kalau ada peminat yang suka, saya terbuka untuk berkolaborasi dengan Nadhir dalam mana-mana projek ini,” katanya.
Lain pula dengan Tabby yang dilihat bersih daripada sebarang gosip panas. Kata Tabby, dia lebih suka begitu.
Saya sudah lihat bagaimana dua rakan saya perlu menjawab apabila terpalit dengan gosip. Sejujurnya saya kasihankan mereka.
“Biarpun orang kata gosip boleh berikan publisiti sama ada baik ataupun negatif, tetapi bagi saya pencapaian dalam bidang muzik juga sudah memadai untuk berikan publisiti,” tutupnya. – HIBGLAM