Zahnita beli Renault Captur, tak perlu sewa kereta lagi

SELEPAS sekian lama bergantung harap dengan kereta sewa, pelakon dan model Zahnita Wilson kini mampu tersenyum lega apabila akhirnya memiliki kenderaan sendiri berjenama Renault Captur.

Ujar Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, pembelian pacuan empat roda berwarna biru itu menjadi titik permulaan kepada kehidupan lebih selesa tanpa perlu lagi menagih bantuan selain mudah untuk bergerak kemana-mana.

Lepas ini tak perlu dah lenjan pakai kereta sewa. Terima kasih kepada Elle dan Ida (jurujual).

“Sangat berpuas hati, terima kasih banyak,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Pelakon filem Kuliah Cinta itu turut memuat naik foto bersama dua jurujual yang menghantar sendiri kereta tersebut ke kediamannya.

Meskipun tidak mendedahkan spesifikasi atau harga kenderaan berkenaan, penampilan Zahnita yang tampak ceria dan bersyukur nyata mencuri perhatian ramai.

Netizen menyambut baik perkembangan itu, malah ramai yang mendoakan agar ibu anak empat itu terus maju selepas melalui pelbagai cabaran hidup.

“Bermula dari bawah tanpa mengharap duit jantan tak guna. Rezeki datang bila kita dah cukup bersabar. Tahniah Zahnita,” tulis seorang pengguna media sosial.

Dulu jalan kaki pun pernah, sekarang Allah bagi kereta. Tahniah, muka pun nampak berseri-seri,” komen individu lain.

“Semoga lebih bahagia dan dimurahkan rezeki selalu. Awak layak mendapat kehidupan yang selesa. Cukuplah derita itu,” ujar seorang netizen.

Nama Zahnita pernah menjadi sebutan apabila kehidupannya diuji dengan pelbagai kontroversi termasuk isu rumah tangga.

Namun, dengan semangat yang tidak pernah luntur, dia bangkit perlahan-lahan membina kembali kekuatan dan maruah diri.

Perkembangan terbaharu itu bukan sahaja menggembirakan peminat, bahkan menjadi inspirasi buat wanita lain untuk terus kuat melangkah, biarpun pernah rebah di tengah jalan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok