Jika ada babak pegang tangan, saya berjaga-jaga – Al-Jufferi

Selepas mengumumkan persaraan daripada dunia persilatan profesional pada Ogos 2022, bekas pesilat negara Al-Jufferi kini bergelar seorang pelakon.

Bermula di pentas teater, Al-Jufferi atau nama sebenarnya, Mohd. Al Jufferi Jamari, 33, kini bersedia untuk bergelar pelakon sepenuh masa menerusi drama mahupun filem.

“Saya akan terima tawaran berlakon drama atau filem, tidak kisah watak apa sekalipun saya akan cuba, cuma saya akan menilai sesebuah karya terlebih dahulu.

Sebagai pesilat saya telah diajar adab, disiplin dan menjaga batasan. Jika ada babak yang memerlukan berpegangan (dengan pelakon wanita) saya harus berjaga-jaga.

“Saya tidak akan terima tawaran lakonan jika karya tersebut membuatkan isteri dan keluarga saya tidak selesa,” katanya kepada HibGlam. 

Meskipun pernah bergelar juara dunia sebanyak empat kali, sebagai pelakon, Al-Jufferi tidak kisah bermula dari bawah. 

Impiannya hanya satu, mahu membudayakan silat bukan sahaja di gelanggang, tetapi juga dalam karya seni.

Ikutkan memang karya aksi, terutama karya kepahlawanan yang dekat dengan diri saya. Namun begitu, saya juga boleh berlakon pelbagai watak seperti komedi, malah dalam teater saya turut menari (ketawa).

“Misi saya mahu orang lihat silat boleh pergi pelbagai cabang, bukan sahaja sebagai atlet dan sukan tetapi juga karyawan seni,” ujarnya.

TEATER Sahmura Empayar Melaka lakonan Al-Jufferi bersama Neera Azizi, Zack Kool dan Nizam Zaidi dijadualkan pementasan pada 23 hingga 25 Mei ini di Panggung Bangsawan Melaka.

Teater

Berbicara tentang minat dalam dunia lakonan, semuanya bermula apabila dia didedahkan dengan pentas teater oleh bapanya yang juga seorang pesilat.

“Bapa pernah berlakon teater sebagai pesilat, walaupun wataknya tidak besar tetapi saya didedahkan dengan teater sejak kecil.

Menginjak dewasa, saya suka menonton teater di Istana Budaya berbanding menonton filem di pawagam dan saya mula terjun ke dunia lakonan selepas ditawarkan pengarah yang juga aktivis teater Lokman Ghani.

“Sebaik bersara sebagai atlet, saya terus aktif teater dan watak pertama saya adalah sebagai Hang Tuah. Saya sendiri tidak tahu kenapa jiwa saya ke arah lakonan, prinsip saya apabila sudah bermula saya harus buat sehabis baik,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Al-Jufferi terlibat dalam persembahan teater di Panggung Bangsawan Melaka, Sahmura Empayar Melaka yang akan dipentaskan pada 23 sehingga 25 Mei ini.

Selain itu, dia juga akan terlibat dalam dua naskhah teater, Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik (31 Mei 2025) dan Tun Fatimah Srikandi Melaka (13-15 Jun 2025). 

Semua pementasan adalah bawah Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM).

Saya bukanlah pandai berlakon, tetapi bawah tunjuk ajar Lokman Ghani dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, saya boleh buat.

“Memang tidak mudah, tetapi saya mahu mempromosikan silat bukan hanya di dalam gelanggang tetapi juga melalui karya seni seperti teater. Silat bukan sahaja seni mempertahankan diri tetapi budaya kita,” katanya.

Antara pelakon lain yang turut terlibat dalam ketiga-tiga teater tersebut adalah Jalaluddin Hassan, Ashraf Muslim, Neera Azizi, Zack Kool dan Nizam Zaidi.

Tidak hanya berlakon, Al-Jufferi masih aktif bersilat dengan mengajar silat olahraga menerusi Al Jufferi Silat Academy.

“Saya mengajar silat untuk kanak-kanak sekolah rendah sehingga orang dewasa berusia 45 tahun,” ujarnya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok