SUDAH menjadi satu tabiat, pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan sebenarnya sanggup berjaga malam tanpa tidur demi melayan permainan video kegemarannya.
Ujar Elizabeth atau nama sebenarnya Elozabeth Tan Su Mei, 30, tabiat itu bermula sejak zaman kanak-kanak dan menjadi lebih serius apabila dia mula bermain secara dalam talian bersama pemain luar negara.
“Saya memang gemar bermain permainan video sejak kecil. Antara game kegemaran saya ialah Lineage2M.
“Saya pernah berjaga malam tanpa pengetahuan ibu bapa hanya untuk masuk permainan ini dengan pemain dari luar negara.
“Mungkin sebab pengaruh abang, saya pun terbawa-bawa sama. Sejak itu saya memang hardcore,” katanya.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy itu turut berkongsi kisah unik melibatkan seorang rakannya yang bertemu jodoh menerusi permainan sama.
“Ada satu trivia, kalau nak tahu, saya ada seorang kawan yang bertemu jodoh ketika bermain Lineage2M.
“Mereka berkenalan dan akhirnya berkahwin. Semua bermula daripada permainan video,” dedahnya.
Pun begitu, di sebalik keseronokan itu, Lizzy sedar masih ramai memandang sinis terhadap hobi bermain permainan video.
Menangkis pandangan skeptikal tersebut, penyanyi lagu Rezeki itu percaya permainan video bukan sekadar pelarian emosi, sebaliknya mampu menjadi senjata minda jika dikendalikan secara berhemah.
“Saya percaya jika dilakukan secara sederhana, bermain permainan video mampu melatih minda, meningkatkan fokus dan kemahiran berfikir secara pantas.
“Banyak permainan yang memerlukan strategi dan reaksi cepat, dan ini sangat membantu dalam kehidupan seharian,” tuturnya.
Disebabkan itu, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu terpilih menjadi salah seorang selebriti terawal menerima kejutan kotak misteri menerusi penghantaran dron bersempena kempen Lineage2M yang berlangsung pada 10 Mei lalu.
Selain Lizzy, antara nama lain yang terlibat dalam kempen tersebut ialah Khairy Jamaluddin, Cathryn Li dan Han Xiiao Aii menjelang pelancaran rasmi Lineage2M di Asia Tenggara pada 20 Mei ini. – HIBGLAM.