Tanpa seteguk air, Nadin Amizah ‘terpaling’ galau

KELUNAKAN vokal penyanyi Indonesia, Nadin Amizah telah berjaya membuai perasaan hampir 2000 peminatnya yang menonton showcase Malam Mendengar yang berlangsung semalam di Zepp Kuala Lumpur.

Menyampaikan 15 buah lagu, Nadin atau nama lengkapnya Nadin Amizah Harahap, 25, berjaya memukau penonton dengan suaranya yang merdu dan penuh penghayatan.

Sewaktu membuka bicara bersama penonton, Nadin sempat meluahkan keterujaannya bertemu dan membuat persembahan untuk peminatnya di Malaysia.

“Baru beberapa bulan yang lalu saya hadir ke Zepp Kuala Lumpur untuk konsert Aurora. Dan kali ini saya kembali ke sini lagi berdiri di atas pentas untuk menghiburkan anda semua.

“Tak sangka hari ini (semalam) ramai yang datang, full house. Kalian semua kelihatan sangat cantik dan bergaya. Terasa seperti berada di acara fashion week,” katanya.

Nadin juga mengambil tindakan berani dengan mengangkut 40 pemuzik orkestra dari Indonesia khusus untuk peminatnya di sini.

“Seumur hidup saya baru sekali mambuat persembahan bersama kumpulan orkestra iaitu di konsert Malam Mendengar di Jakarta.

“Dan kali ini saya turut membawa mereka buat kali kedua istimewa untuk peminat-peminat di Malaysia.

Menghiburkan peminat selama 90 minit, Nadin dilihat kekal bertenaga membuat persembahan tanpa berhenti rehat dan tidak sekali pun dia meneguk air di atas pentas.

Sepanjang membuat persembahan, peminat-peminatnya dilihat begitu terbuai. Ada yang berdansa bersama pasangan ada yang juga yang menangis mendengar lagu-lagu galau dedangannya.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Sora, Rayuan Perempuan Gila, Mendarah, Bunga Tidur, Hormat Kepada Angin, Seperti Tukang, Tawa dan Sorak Sorai. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok