SERING dipuji persis remaja, pelakon Mawar Rashid mengakui memberi fokus terhadap diri sendiri selain berusaha menjadi insan yang lebih baik.
Berkongsi dengan penuh sebak, Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 30, menasihati wanita terutama yang sudah bergelar ibu agar memberi masa buat diri sendiri supaya nampak lebih ceria.
“Untuk berada pada tahap sekarang memerlukan usaha yang sangat besar. Kepada wanita di luar sana, jangan lupa sayangi diri sendiri.
Ada kalanya kita terlampau berikan rasa kasih kepada orang kita cinta seperti anak dan keluarga. Bila lihat cermin, kita tak kenal dan nampak diri sendiri.
“Saya rasa sangat penting buat wanita bergelar ibu untuk beri waktu kepada diri. Saya kini rasa lebih ceria dan makin positif,” katanya kepada HibGlam semasa majlis doa selamat filem Nar’Sata Sekufu Setan di wisma Metrowealth International Group (MIG), semalam.
Dalam masa sama, pelakon drama Nikmat Yang Sesaat itu turut mendedahkan kesukaran membesarkan anak-anaknya sebagai ibu tunggal.
Mustahil tak ‘struggle’, sudah tentu saya melalui fasa sebegitu tapi saya rasa itu semua adalah keindahan dalam hidup.
“Saya fikir inilah perkara yang semua ibu lalui dan rasai iaitu berat hati untuk keluar bekerja dan tinggalkan anak-anak.
“Sudah tentu semua orang merasai perkara yang berat dalam hidup, tapi saya fikir perlu teruskan berjuang,” ujarnya lagi.
Ditanya perkara yang membuatkannya sebak, peserta Dewi Remaja edisi 2014/2015 mengakui perjuangan untuk bekerja keras demi anak-anak membuatkan air mata mudah tumpah.
“Ada banyak perkara yang membuatkan saya sebak. Setiap orang ada ujiannya yang tersendiri, setiap hari saya berjuang untuk anak-anak dan mereka penguat semangat saya.
Bila saya lihat mereka, saya rasa boleh tempuhi segalanya sebab itu saya kini banyak fokus kepada diri sendiri untuk sentiasa jadi kuat,” jelasnya.
Selain itu, dia juga sayu mengenangkan sokongan padu diberikan keluarga dan pengikut dalam Instagram.
“Saya juga dapat sokongan daripada pengikut yang memberikan komen positif. Itu memang dorongan yang baik untuk diri saya.
Saya tak akan berada di sini tanpa sistem sokongan seperti keluarga, anak-anak dan kawan-kawan. Pada saya itu semua sangat penting,” katanya.
Sebelum ini, Mawar pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Raf atau atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017, namun berpisah November 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 6, Raden Seri Rosabella Cinta, 4 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 2. – HIBGLAM