Kes pukul bekas isteri, Hafidz Roshdi dibebaskan, dilepaskan

MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan pelakon Hafidz Roshdi dibebaskan dan dilepaskan berhubung kes pukul membabitkannya dengan bekas isteri, Nurul Shuhada dua tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat Majistret Mahkamah Kuala Kubu Bharu iaitu Nurul Izzah Hasan Basri selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak.

Mahkamah dengan ini memerintahkan OKT (Orang Kena Tuduh) dilepaskan dan dilepaskan. Jaminan juga akan dikembalikan,” katanya.

Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang mewakili pihak Shuhada meminta supaya kes tersebut dikategorikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Bagaimanapun, peguam mewakili Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader memohon untuk kes tersebut diklasifikasikan sebagai dilepaskan dan dibebaskan secara total (AND).

“Alhamdulillah mahkamah beri perintah untuk bebaskan dan lepaskan Hafidz sebab pengadu tak hadir dan pendakwa raya beritahu pengadu tidak berhasrat untuk teruskan kes.

Mahkamah dah bagi amaran terakhir untuk datang hari ini, tapi tak hadir juga jadi rasa dia dah maklumkan kepada pendakwa raya tak teruskan kes.

“Mereka minta DNAA. Saya jawab demi keadilan kena bagi AND sebab pengadu tak berminat buat apa nak gantung.

Klau DNAA boleh dituduh balik bila bila masa. Pengadu dah selesai cara baik. Dah selesai dengan mahkamah serta tarik balik laporan lama dan kes di sini. Jadi hakim setuju untuk lepaskan dan bebaskan Hafidz,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Sementara itu, pemilik nama lengkapnya Muhammad Hafidz bin Roshdi, 31, meluahkan rasa lega apabila kes yang berjalan selama dua tahun itu akhirnya selesai.

Alhamdulillah sekarang saya lega dan bersyukur. Saya tidak mahu bermusuhan, hanya mahu selesai cara baik sahaja,” ujarnya.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac 2023 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun sama.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Dalam prosiding sebelum ini, peguam itu pernah menyatakan bahawa pengadu dalam kes ini telah menyelesaikan kes apabila telah menarik balik laporan polis pada 6 Julai tahun lalu.

Berdasarkan dokumen, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan yang baik di luar mahkamah dengan pengadu (Nurul Shuhada) telah bersetuju menarik balik laporan polis.

Namun, pada 14 Oktober lalu, mahkamah sama memerintahkan Nurul Shuhada perlu hadir pada hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan akan tetap meneruskan perbicaraan berhubung pertuduhan itu.

Awal Ogos lalu, media melaporkan Nurul Shuhada memaklumkan dia kini bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok