‘Jadi apa-apa dekat keluarga adik aku, aku cari kalian!’

TAMPIL bersuara selepas dituduh menjalin hubungan songsang, penyanyi Khai Bahar mengakui terpaksa berbuat demikian kerana tiada tempat untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

Menurut Khai atau nama lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin, 31, kehidupannya tidak lagi sama kerana ibu yang selama ini menjadi tempah berkongsi segala rasa telah pergi buat selama-lamanya.

“Maaf semua, aku bersuara bukan sebab mahu perhatian daripada sesiapa. Aku sedih sebab aku tidak kuat.

Dulu bila orang cakap pasal aku, aku ada tempat nak mengadu dekat mak tetapi sekarang aku tidak tahu nak mengadu dekat siapa,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Pelantun lagu Luluh itu turut menegaskan bahawa walaupun dirinya bukan insan sempurna, dia masih ada iman.

Aku bukan baik mana pun, sama macam orang lain ada buat silap tetapi jangan sampai memfitnah tuduh aku dengan adik ipar aku sendiri benda yang tiada.

“Aku masih ada iman, cuba untuk kuat sampai tahap tiada arah tuju,” ujarnya.

Dalam masa sama, Khai turut meminta netizen agar tidak terus mengungkit kisah lama selain menasihati mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya menghubunginya secara peribadi.

Jagalah aib masing-masing. Kalau rasa tidak puas hati dengan aku, boleh terus ‘DM’ (mesej langsung). Tak payah cakap perkara yang tiada.

“Cukup-cukuplah nak jadi ‘YTJT’ (yang tahu je tahu) dengan perkara dan zaman yang lama. Bangun bro!,” katanya.

Khai turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan serta menyebarkan fitnah itu.

Aku dah abaikan tetapi bila libatkan rumah tangga keluarga, aku tidak akan diam.

“Adik aku dah bahagia dengan suami dan anak dia. Si ‘YTJT’ ni punya terpaling! Habis bagi kesan emosi orang.

Jadi apa-apa dekat keluarga adik aku, aku tidak diam okey! Aku cari kalian, tak payah sembunyi.

“Aku dah ‘ss’ (tangkap layar) siapa yang mulakan dulu! Saman tetap tetap saman!,” katanya.

Hal tersebut menjadi bualan netizen selepas sebuah akaun hiburan memuat naik video pendek memaparkan Khai bersama seorang lelaki dalam sebuah kereta.

Paparan yang tular itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial dengan ada individu meninggalkan komen jelek.

Sebelum ini, Ibu penyanyi Khai Bahar, Rosnah Muhammad meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis, Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok