‘Harap Nora terus mencintai dan menyayangi saya’

MASIH sayang, suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Dr. Rushdi Ramli enggan melafazkan cerai terhadap isterinya hari ini kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.

Menurut Dr. Rushdi, dia masih menyayangi Nora bahkan tidak mahu perceraian berlaku kerana perkara tersebut ditegah dalam Islam.

“Hari ini, saya menyatakan di hadapan hakim bahawa saya menolak permohonan perceraian yang dilakukan oleh isteri sebelum ini.

“Saya tidak bersetuju kerana masih menyayangi dan mahu mempertahankan perkahwinan kami.

“Dalam Islam juga haram untuk kita mengamalkan penceraian tanpa alasan yang munasabah,” katanya usai prosiding sebutan pertama ke perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Tambah Dr. Rushdi, dia turut menjelaskan keluarga isteri pertamanya sudah mula menerima Nora sebagai madu.

“Berdasarkan pemerhatian saya, keluarga isteri pertama sudah pun menerima perkahwinan saya dengan Datuk Nora.

“Mereka pun tidak merungut apa-apa. Namun mereka berharap tidak ada berlaku sebarang dalam hubungan kami sekeluarga.

“Saya berharap Nora terus mencintai dan menyayangi saya tapi kalau dia tiada lagi perasaan itu dan mahu mengambil tindakan lanjut saya dah tak boleh nak buat apa,” ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan dirinya gagal menguruskan rumah tangga sepanjang berpoligami, Dr. Rushdi menafikan hal tersebut malah enggan mengambil pusing kecaman netizen.

“Saya tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut. Orang yang mendakwa itu hanya pandai bercakap saja.

“Orang yang berkahwin seorang pun ada yang bercerai. Saya juga sudah cuba yang terbaik,” ujarnya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan 4 Jun sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian Nora dan Dr Rushdi.

Peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali berkata, ini bagi membolehkan pasangan tersebut menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Rushdi enggan menceraikan Nora pada prosiding yang berlangsung hari ini .

Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.

Sekitar hujung tahun 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok