PENYANYI Nadeera tidak dapat menahan sebak apabila tiket showcase sulungnya bertajuk An Evening With Nadeera habis terjual dalam masa hanya tiga minit.
Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 32, mengakui tidak menyangka dapat sambutan yang luar biasa daripada peminat memandangkan dirinya masih ‘hijau’ dalam industri muzik.
“Sebenarnya saya menangis, ini adalah perkara yang saya sudah lama impikan dari dulu. Mimpi jadi kenyataan hasil daripada kerja keras, tawakal dan doa saya selama ini. Inilah hasilnya!
Saya rasa macam masih baru dan kecil lagi dalam industri ini. Terfikir, ada ke orang nak tengok saya.
“Tapi dengan izin Allah, saya benar-benar terkejut bila pengurus saya maklumkan tiket habis terjual dalam masa tiga minit,” katanya ketika ditemui pada sidang media An Evening With Nadeera, semalam.
Pelantun lagu Bukan Lagi Kita itu turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila usaha kerasnya mendapat sokongan padu, bukan sahaja daripada peminat malah rakan-rakan artis.
“Saya amat bersyukur. Bukan sahaja peminat memberi sokongan, ramai rakan artis turut beli tiket ‘showcase’ ini. Memang saya tak jangka langsung.
“Alhamdulillah, saya dapat maklum balas yang sangat baik daripada mereka. Mereka nampak juga bakat saya selama ini,” ujarnya.
Showcase sulung Nadeera bertajuk An Evening With Nadeera bakal berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama pada 30 Mei ini.
Showcase tersebut dianjurkan oleh Mask Team dan Usanita Entertaiment. – KOSMO! ONLINE