‘Sarah bukan ‘redflag’, bagi saya dia baik’

RAMAI kata dia kasar tetapi bagi saya, Sarah itu orang baik.”

Demikian respons aktor Indonesia, Andi Arsyil berhubung spekulasi yang mendakwa rakan kongsinya, Puteri Sarah Liyana seorang yang ‘red flag’.

Selepas bekerjasama sebagai rakan niaga, Andi atau nama lengkapnya Andi Arsyil Rahman, 37, menyedari sisi menarik dan menyenangkan pada Sarah.

Waktu pertama kali bekerjsama dengan dia, banyak yang kata dia ‘red flag’. Ada yang kata dia kasar.

“Bagi saya, Sarah seorang yang sangat profesional. Apabila mengenalinya, saya boleh kata dia seorang yang baik,”katanya kepada HibGlam ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Puteri Sarah, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelakon drama Ketika Cinta Bertasbih itu berharap orang ramai boleh menerima baik perspektifnya mengenai personaliti pemilik nama lengkap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

“Saya tidak perlu menilai orang terlalu jauh. Walaupun kita berbeza pandangan, tetapi itu hanya pendapat saya kerana setiap manusia ada kelebihan masing-masing.

“Jadi saya harap orang boleh terima. Dia juga ada kebaikan dan keburukan tetapi yang baik perlu kita ucapkan, yang buruk-buruk perlu kita perbaiki.

Allah sudah tuliskan semuanya di Luh Mahfuz. Jadi, kalau itu adalah sesuatu yang baik buat saya, saya akan berharap kebaikan tetapi kalau itu sesuatu yang tidak baik buat saya, saya akan berusaha untuk membuatkan segalanya jadi baik,” jelasnya.

Meskipun hubungannya dengan Sarah kelihatan mesra, Andi mengakui ibu kepada dua anak itu hanyalah sekadar rakan kongsi dalam perniagaan yang sudah terjalin sejak November 2023.

Pertama kali Sarah hubungi saya apabila dia suka selepas mencuba sendiri produk tersebut. Dari situ Sarah cakap ‘boleh tak kalau saya mahu bawa ini (produk) ke Malaysia?’

“Saya cakap tiada masalah dan kami berjumpa untuk memulakan perniagaan ini dari zero,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Sarah pernah meluahkan rasa kesal terhadap gossip liar yang mendakwanya bakal berkahwin dengan Andi.

Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul 8 Mac 2014 namun, pasangan itu bercerai talak satu pada 14 Jun tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, Puteri Sarah dan Syamsul dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 7, dan Summayah, 5. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok