SELEPAS tujuh tahun menyepi, kumpulan pop legenda, KRU membikin kejutan dengan melancarkan album terbaharu mereka berjudul Kaset.
Menurut anggota KRU, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim, mereka cukup teruja untuk melahirkan Kaset yang merupakan album ke-15 selepas pembubaran KRU pada 2018.
“Seronok dan terasa kembali muda apabila kami mengadakan acara pra-dengar lagu bersama peminat.
“Saya boleh ingat wajah peminat yang ada masa pelancaran album Canggih (1992) dan turut ada pada hari ini.
“Album ini adalah untuk peminat yang selama ini tidak pernah berhenti mendengar lagu KRU dan sentiasa menyokong kami walaupun sebelum ini kami sudah tidak aktif sebagai sebuah kumpulan,” kata Norman.
Tambah Yusry, album Kaset dibikin oleh mereka bertiga seperti mana album-album terdahulu bezanya kini dibantu dengan teknologi yang moden.
“Bergaduh itu biasalah adik-beradik tetapi paling sukar adalah menyatukan kami dalam sebuah karya kerana sekarang ketiga-tiganya sudah menjadi ‘orang besar’ dalam bidang kerja masing-masing.
“Cuma apa yang pasti semua lagu dalam album Kaset boleh dijadikan single dan semua lagu akan membawa peminat kembali bernostalgia mengenang zaman remaja terutama lagu Remaja Selamanya,” kata Yusry.
Menariknya, album Kaset yang mengandungi 10 buah lagu itu tidak hanya dipasarkan secara digital tetapi juga dijual secara fizikal seperti cakera padat dan juga Vinyl.
“Sepanjang 33 tahun usia KRU tidak pernah sekalipun kami memiliki album dalam bentuk Vinyl. Jadi, ini kali pertama buat kami dan akan dijual secara pre-order.
“Kalau ikut pasaran sememangnya album laris dalam bentuk digital tetapi demi kepuasan kami sendiri yang ingin turunkan tanda tangan di album, kami keluarkan album bentuk fizikal.
“Album bentuk fizikal ibarat satu pencapaian maksimum buat seorang pengkarya, rasa tidak lengkap kami sudah siapkan album tetapi tidak dapat pegang secara nyata,” ujar Edry.
Kaset merupakan album ke-15 KRU hasil kerjasama dengan Sony Music Entertainment. Anyara lagu yang terkandung dalam album ini adalah, Hambadansa, ‘One More Time’, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, ‘High Maintenance’, Ciptaan Sempurna dan Agung.
Album penuh Kaset akan dilancarkan di semua platform digital pada 25 April ini.
Dalam pada itu, KRU kini sedang bersiap sedia untuk konsert genKRU yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 3 Mei depan di Axiata Arena Bukit Jalil. – HIBGLAM