DICABAR dedahkan bukti dipukul suami, pelakon Linda Hashim mendakwa sudah lama menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2016.
Linda atau nama lengkapnya Norhazlinda Hashim, 41, mendedahkan perkara tersebut memandangkan suaminya, Beego didakwa menyebarkan fitnah berkenaan dirinya.
Dia juga berani membuat kenyataan tersebut selepas mendapatkan nasihat peguam yang mewakilinya, Nurul Fadzilah Kamaluddin.
“Atas nasihat orang yang lebih arif, memandangkan kes ini pun saya mendapati berbaur fitnah. Banyak perkara berlaku kepada saya dan saya cuba diamkan diri. Namun, benda itu sudah dimanupulasi (Beego).
Jadi, saya nak dedahkan di mana saya ada empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung kecederaan yang dialami.
“Keganasan rumah tangga berlaku pertama kali pada 2016 dan kali terakhir pada hari saya keluar dari rumah Oktober tahun lalu,” katanya kepada HibGlam di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini.
Selain dakwaan dipukul, pelakon filem Syaitan Munafik itu turut memberi amaran untuk mendedahkan bukti-bukti lain berhubung sikap suaminya sekali gus menasihati lelaki itu agar tidak melampaui batas.
“Sebenarnya bukan kes keganasan saya nak tekankan. Tidak mengapa, saya faham mungkin orang tengah marah, saya tadah sahajalah.
Bila orang dah tahu ini, saya buka satu sahaja, yang lain kita tutup supaya tak panjangkan cerita.
“Tetapi misalnya dia mencungkil (provokasi) saya tidak teragak-agak untuk mendedahkan semuanya sebab dah berbelas tahun saya pendam,” jelasnya.
Dalam masa sama, Linda akui kesihatan mentalnya dan anak terjejas gara-gara sikap Beego yang suka naik tangan dan sering memanipulasi cerita.
“Saya dah cakap baik-baik tetapi ego ada kan? Jadi saya faham tetapi sampai bila nak simpan masalah tersebut.
Dia menganggu mental saya dan anak-anak. Sampai anak campak telefon kalau cakap dengan bapanya. ‘
“Kalau saya buka betul-betul kes ini akan jadi besar, jadi harap selepas ini tolonglah selesaikan cara baik. Jangan tegakkan benang yang basah,” tuturnya.
Hari ini, mahkamah menetapkan tarikh 30 Jun pada pukul 11 pagi bagi pembentangan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 pasangan terbabit hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai 27 Mac 2023.
Aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023.
Namun dia mengakui tidak mendedahkan perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM