PERAGAWAN negara, Asyraf Dasley melakar kejayaan sendiri apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia ke peringkat dunia selepas dinobatkan sebagai juara Mister Tourism World 2025 di Ninh Thuan, Vietnam semalam.
Kejayaan tersebut menjadi miliknya selepas gelaran juara yang pada awalnya menjadi milik peserta dari Vietnam, Hung Nguyen dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pengiraan markah.
Menurut Asyraf atau nama sebenar, Muhammad Asyraf Mohd Dasli, 34, dia bersyukur selepas semua usahanya sepanjang pertandingan selama seminggu membawa kejayaan.
“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan ini, saya tidak sangka dan memang sangat gembira apabila pengumuman itu dibuat.
“Namun, agak sedih juga kerana kejayaan tersebut tak dapat raikan di atas pentas sebenar sewaktu hari kejadian sebab orang lain yang diumumkan sebagai pemenang ketika itu.
“Apa pun, saya memuji integriti pihak organisasi yang mengendalikan pertandingan tersebut kerana bertindak jujur,” katanya.
Bercerita lanjut, Asyraf perlu berdepan dengan pelbagai dugaan dan ujian sebelum menyertai Mister Tourism World termasuk pemergian ibu tercinta pada Januari lalu.
“Paling mencabar buat saya apabila perlu bersaing selepas kehilangan ibu tersayang pada 8 Januari lalu.
“Memang hampir nak tarik diri tapi arwah minta saya buat sedaya upaya sebelum dia perg. Jadi, saya kuatkan semangat dan teruskan perjuangan,” ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Keusahawanan.
Memasang impian untuk bergelar pelakon, dia juga berharap syarikat produksi tempatan dapat melihat bakatnya dan diberikan tawaran berlakon.
Katanya, dia mempunyai impian untuk untuk berlakon dengan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Amelia Henderson dan Meerqeen suatu hari nanti.
“Saya berharap satu hari dapat berlakon dengan pelakon hebat seperti Rosyam, Erra, Amelia dan Meerqeen.
“Insya-Allah rezeki itu akan hadir tetapi perlukan usaha untuk membina nama, doakan,” ujarnya.
Terdahulu, Pertubuhan Mister Tourism World secara rasmi mengumumkan kemenangan Asyraf dalam satu kenyataan rasmi selepas seminggu melalui persaingan sengit membabitkan pameran kebudayaan dan aktiviti duta.
Kenyataan tersebut memaklumkan Asyraf bukan sahaja memikat dengan penampilan dan keperibadian, malah menyerlah melalui penyampaian mesej perpaduan dan promosi budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Gelaran juara yang pada awalnya disandang Nguyen dan naib juara digantung sementara atas dakwaan penyelewengan dan potensi pelanggaran peraturan pertandingan. – HIBGLAM