Hutang perniagaan puluhan ribu makin berkurang – Shuib

PELAWAK dan usahawan, Shuib, mendedahkan hutang perniagaan puluhan ribu ringgit yang pernah ditanggung kini semakin berkurangan hasil rundingan dan kerjasama dengan pihak kerajaan.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, berkata dia tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan terus berunding dengan agensi kerajaan serta pihak bank demi menyelesaikan segala tunggakan.

“Hutang itu sudah semakin berkurang. Saya percaya kalau mula berniaga dengan modal berjuta-juta, hutangnya pun berjuta juga.

“Sebahagian besar hutang datang daripada perniagaan keseluruhan. Saya ada beberapa bisnes, tetapi yang agak kritikal ialah jenama Bubble Bee.

“Memandangkan perniagaan sebelum ini agak besar, saya banyak berbincang dengan agensi kerajaan dan dapatkan nasihat daripada bank. Alhamdulillah, semua beri kerjasama,” katanya kepada HibGlam.

Bapa kepada empat orang anak itu sebelum ini dikaitkan dengan isu tunggakan cukai dan pinjaman yang melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Perkeso.

Tambahnya, fasa sukar itu dijadikan pengajaran dan pemangkin untuk bangkit lebih kuat dalam dunia perniagaan.

“Satu per satu saya lihat bisnes kembali rancak. Harap momentum ini berkekalan.

“Beginilah perjalanan seorang usahawan. Ada naik turun, jadi jangan risau. Kita lalui sahaja dan jangan berhenti.

“Saya percaya Allah beri rezeki yang baik, cuma saya sendiri perlu baiki kesilapan, jadi lebih fokus dan konsisten,” ujarnya pada majlis pembukaan Restoran Nasi Bakar Bangkit, Cheras, hari ini.

Meskipun perniagaan terdahulu bergolak, Shuib nekad membuka cabang baharu menerusi jenama Nasi Bakar Bangkit yang mengetengahkan konsep makanan unik berasaskan nasi dibakar dalam daun pisang.

Lebih menarik, anaknya Matin turut diberi kepercayaan sebagai duta produk berkenaan.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan sejak dibuka dalam bulan Ramadan. Kami sendiri tidak jangka respons sebegini.

“Walaupun hujung minggu sedikit terjejas sebab ramai hadiri rumah terbuka, orang tetap datang. Pelanggan mula kenal Nasi Bakar Bangkit dan menu kami,” jelasnya.

Nasi Bakar Bangkit menampilkan lebih 10 menu termasuk kombinasi sambal merah, sambal hijau serta ayam berbumbu yang disediakan hasil beberapa sesi uji rasa.

Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), Shuib memainkan peranan sebagai penguji rasa bagi memastikan padanan rempah dan kepedasan mencapai standard terbaik. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok