Rugi RM90,000 ditipu agensi umrah, tekanan darah Aaron Aziz melonjak

PELAKON popular Aaron Aziz naik angin berdepan kerugian hampir RM90,000 selepas ditipu sebuah agensi pengurusan umrah.

Lebih menyakitkan, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji hasil kerjasama dengan pihak terbabit.

“Gaji tak dapat, komisen pun tiada.

“Malah saya bagi pinjam hampir RM90,000 pun tak dibayar,” luahnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Lebih memeritkan, kejadian itu berlaku tidak lama selepas isterinya, Diyana Halik, berdepan insiden pekerja sendiri mencuri wang syarikat.

Akibat tekanan bertalu-talu, tahap kesihatan pelakon Sayu Yang Syukur itu turut terjejas sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Sekali lagi syarikat haji umrah buat hal. Kata orang tua, buat baik pun kena berpada-pada.

“Sampai di hospital, tekanan darah 179,” luahnya sambil berkongsi foto rakaman bacaan tekanan darah yang menunjukkan kadar terlalu tinggi berbanding normal.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati dan menzahirkan rasa geram terhadap individu yang menipu pelakon filem Ombak Rindu itu.

“Macam mana boleh ada hati ambil duit orang macam ini? RM90,000 bukan jumlah kecil!” luah seorang pengguna Instagram.

“Harap Aaron kuat. Jangan tertekan sangat, kesihatan lebih penting,” tulis seorang lagi netizen.

“Semoga ada jalan penyelesaian. Tak patut betul sampai duit pinjaman pun lesap,” tambah seorang pengguna lain. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok