PELAKON Adam Corrie berharap orang ramai memberi galakan kepada individu bukan Islam yang ingin belajar dan merasai pengalaman berpuasa pada bulan Ramadan.
Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah berkata, memori ketika belajar berpuasa sewaktu zaman kanak-kanak masih berbekas hingga kini.
“Dulu masa saya belum Islam, saya sudah cuba belajar puasa tapi kawan Melayu saya cakap ‘kau tak payah puasa la, dapat penat, lapar dan dahaga sahaja’.
“Saya kata ‘tak mengapa la saya nak cuba rasa bagaimana puasa’. Apabila saya cakap ‘alhamdulillah’, kawan Melayu kata kau bukan Islam tak boleh sebut alhamdulillah.
“Saya belajar berpuasa sejak kanak-kanak lagi. Hingga umur 38 tahun saya masih puasa. Ambil masa lama untuk saya kembali kepada fitrah. Genap umur saya 39 tahun baru syahadah,” kongsinya dalam laman sosial.
Anak seni yang memeluk Islam lebih dua dekad lalu itu juga berharap umat Islam tidak merendah-rendahkan mereka yang ingin merasai pengalaman berpuasa.
“Ini pandangan saya. Ya, dulu saya belum Islam tapi sekarang Islam. Jangan apabila kita nampak kawan bukan Muslim berpuasa, kita kata ‘alah dapat penat, lapar dan dahaga je.
“Kita doakan dalam hati yang baik-baik, tak perlu kata apa-apa. Kita seperti rendah-rendahkan usaha mereka untuk kenal Islam.
“Senyum selalu, bersangka baik. InsyaAllah hati tenang,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran lain Adam meluahkan rasa terkilan apabila sekali lagi difitnah sudah meninggal dunia.
Katanya, dia sudah penat memberi pencerahan foto tular dikapankan sebenarnya babak dalam sebuah drama lakonannya.
“Ini gambar ketika penggambaran drama Tanah Kubur 13 tahun lepas.
“Tak larat dah nak menjawab,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Hantaran berkenaan turut disertakan tangkap layar beberapa fotonya dalam adegan drama bersiri arahan Rashid Sibir yang pernah menjadi sebutan ramai ketika disiarkan sekitar 2011.
Aktor berusia 56 tahun itu turut mengesahkan dirinya dalam keadaan sihat.
“Baru-baru ni saya menerima banyak mesej bertanyakan tentang khabar angin yang mengatakan saya sudah meninggal dunia.
“Alhamdulillah saya masih sihat dan aktif seperti biasa,” ujarnya.
Pelakon filem Takluk Lahad Datu itu turut mengingatkan orang ramai agar menyemak dahulu kesahihan sesebuah berita sebelum mempercayai dan menyebarkannya.
Sekitar tiga tahun lalu bapa kepada seorang anak itu pernah berdepan situasi serupa apabila gambar dirinya dalam kain kapan tular dalam lama sosial. – HIBGLAM