ENGGAN membawa wanita lemah dan teraniaya menjadi faktor mendorong pelakon Siti Saleha menerima tawaran menyahut tawaran membintangi naskhah drama berjudul Dia Imamku.
Dalam naskhah karya terbitan Siti Rosmizah itu, Siti Saleha, 35, yang sudah lama tidak beraksi menghiasi televisyen kembali dengan tekanan emosi menerusi watak Chempaka Humairah.
Berbeza daripada watak yang pernah dilakonkan, Chempaka Humairah memberi satu sisi ‘merah’ yang akan membuatkan penonton menghambur kata kecaman gara-gara kebiadabannya.
Saya bersyukur mendapat tawaran daripada Kak Siti Rosmizah selepas karya yang terdahulu. Bagi saya, cita rasa dan pemilihan watak sangat penting dan kalau boleh saya mahu memainkan watak wanita yang dominan.
“Saya tidak mahu mainkan watak wanita dipukul dan lemah. Jadi bila dapat tawaran untuk watak Chempaka, saya tahu novel ini ada pengikutnya dan jalan cerita sangat kuat sebab merupakan karya Kak Siti Rosmizah. Saya percayakan karyanya,” kata pemenang Outstanding Asian Star Seoul International Drama Awards 2024 itu.

SELEHA gembira sekali lagi bergandingan dengan Kamal menerusi drama Dia Imamku.
Menyedari potensi dikecam gara-gara watak Chempaka Humairah, Siti Saleha dengan hati terbuka bersedia andai kecaman tersebut ditujukan kepada karakter yang dibawakan.
“Ada sebab kenapa Chempaka Humairah jadi begitu biadab dan kurang ajar. Saya mengambil ini sebagai salah satu cabaran.
Tema pengorbanan, cinta dan keluarga membuatkan saya menerima tawaran drama ini selain sudah lama tidak muncul menerusi kaca televisyen. Saya juga gembira mendapat tawaran untuk sekali lagi bekerjasama dengan Kamal Adli,” ujar Saleha.
Pengajaran
Siti Saleha turut mengungkap bahawa dia mempunyai keserasian yang baik dengan Haneesya Hanee yang membawakan watak Dahlia.
Watak Dahlia yang dibawakan Haneesya memang lucu dan saya sentiasa ternanti-nantikan adegan pergaduhan kami. Kadang-kala saya terbawa-bawa hingga ke luar sebab saya dan Haneesya cukup serasi,” ujarnya.
Oleh itu, Siti Saleha berharap penonton akan memberikan sokongan dengan menonton drama Dia Imamku.
Tidak hanya hiburan, drama yang mula ditayangkan menerusi Astro Ria sejak 17 Februari lalu itu juga sarat dengan pengajaran.
“Banyak pengajaran yang saya sendiri dapat daripada drama ini. Salah satunya kenapa Chempaka Humairah menjadi seorang yang cukup pendendam.
Saya belajar, apa pun yang kita lakukan, jika Allah sudah beri pentunjuk kepada jalan yang betul, maka jangan keras kepala dan melawan cakap ibu bapa.
“Keluarga dan ibu bapa adalah kunci kebahagiaan kita. Jangan tunjuk angkuh dan sombong kerana pada akhirnya tidak berbaloi. Perkara yang sama juga saya praktikkan dalam kehidupan seharian” luahnya.
Drama Dia Imamku arahan Feroz Kader turut dibintangi oleh Kamal Adli, Zara Zya, Khatijah Tan, Imam Shah, Fikhree Bakar, Haneesya Hanee Fazlina Ahmad Daud, Wan Nor Azlin dan Farhan Asri. – HIBGLAM