DILANTIK menjadi duta produk dan acara pada usia emas, pelakon dan pelawak Azlee Senario bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.
Selain jenama pakaian Jakel, Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar, 58, turut dilantik sebagai duta Bazaar Raya Shah Alam 2025 X Azlee Senario yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam.
Ini semua doa peminat dan mungkin juga faktor menang trofi Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 tahun lalu membuatkan orang lihat kumpulan Senario masih relevan dan memiliki nilai yang tinggi.
“Ikutkan sebelum menang anugerah Senario telah buat konsert merata-rata, tetapi impaknya lebih selepas menang.
Pada usia sekarang saya sendiri tidak sangka akan mendapat tawaran menjadi duta. Ikutkan ramai lagi artis lebih muda, mungkin saya sesuai dengan kumpulan sasaran pelanggan jadi saya terpilih,” kata Azlee yang ditemui pada sesi sidang media baru-baru ini.
Tambah Azlee, beliau telah dilamar untuk menjadi duta Bazaar Raya Shah Alam 2025 oleh pihak IPGE Sdn. Bhd. Sejak lebih dua tahun lalu.

Azlee bersama antara selebriti yang menjayakan Bazaar Raya Shah Alam 2025 X Azlee Senario.
Namun, baru tahun ini beliau mempunyai ruang dan peluang menerima tawaran yang dihulurkan.
“Lama mereka tunggu, bila ditanya kenapa saya, mereka cakap Azlee Senario popular dalam pelbagai peringkat usia.
Niat saya juga mahu membantu selebriti dan vendor dengan mempromosikan bazar ini, jadi saya terima. Mungkin asbab saya membantu rakan-rakan artis saya dapat lebih pahala pada bulan Ramadan ini,” ujar Azlee.
Seramai lebih 40 selebriti berkumpul di Bazaar Raya Shah Alam 2025 X Azlee Senario antaranya, Datuk Adi Putra, Datuk Afdlin Shauki, Shahiezy Sam, Keena Mentor serta pempengaruh Uci Luna dan Haqiem Stopa.
Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran, IPGE Sdn. Bhd. Ariff Budiman, pelbagai aktiviti disediakan sebagai tarikan pengunjung antaranya cabutan bertuah sehingga RM100,000 termasuk sebuah kereta Mini Cooper.
“Selain persembahan artis, pengunjung berpeluang memenangi pakej umrah, percutian dan barangan elektrik menerusi cabutan bertuah.
Lebih menarik pengunjung boleh membawa pulang wang tunai menerusi permainan Cekau Duit yang akan diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada Sabtu minggu kedua, kami turut mengadakan solat Subuh seperti Jumaat untuk warga Shah Alam,” kata Ariff.
Bazaar Raya Shah Alam X Azlee Senario selama 16 hari bermula 15 sehingga 30 Mac ini bermula pukul 3 petang di pekarangan Stadium Shah Alam, Selangor. – HIBGLAM