PENYANYI Amira Othman menafikan dakwaan sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Fattah Amin di Johor Bahru pada minggu lalu.
Menurut Amira, 33, dia tidak mengetahui bagaimana dakwaan tersebut tercetus termasuk khabar angin keluarga Fattah bertandang ke Johor Bahru untuk merisiknya.
“Pasal bertunang, saya tak tahu dari mana datang termasuk ada yang nampak saya pakai baju putih pada Jumaat lalu sedangkan saya selalu saja memakai busana warna tersebut.
Jadi, saya tegaskan tiada sebarang majlis pertunangan antara saya dengan Fattah.
“Saya terkejut tidak tahu datang dari khabar angin tersebut tapi memang ada peminat yang teruja dengan spekulasi berkenaan,” katanya ketika ditemui di majlis kempen Ramadan Raya Indahkan Memori Media Prima di sini, semalam.
Ditanya sama ada rimas susulan kerap digosipkan dengan Fattah, pelantun lagu Hati Hati itu menerima situasi tersebut dengan berlapang dada.
“Benda begini saya yang mulakan iaitu gimik pelancaran single sebelum ini.
Saya sendiri pernah beritahu bahawa ini adalah implikasi yang perlu dihadap. Jadi, tidak ada timbul isu rimas dan tenang-tenang sahaja hadapi semua ini sebab semua gosip itu tak betul.
“Saya pun tak ada rasa kekok bila jumpa dengan Fattah, ini lumrah jadi anak seni,” katanya lagi.
Mengenai respons ibu bapanya selepas tular gosip pertunangan tersebut, Amira berkata, semuanya masih dalam keadaan terkawal.
Mak dan ayah saya orang yang tenang. Mereka pun tak bertanya sebab mungkin faham bahawa isu ini tular kerana peminat yang terlampau teruja tentang kami,” ujarnya.
Terdahulu, tular khabar angin mereka sudah mengikat pertunangan di Johor Bahru selain dikatakan akan berkahwin pada Syawal depan. – HIBGLAM