‘95% daripada RM105,180 adalah sumbangan pihak saya’

ISTERI Along Cham, Afreena Suhaimi mendedahkan 95 peratus hasil sumbangan yang dikutip untuk membantu pelawak itu adalah datang daripada hasil sumbangan pihaknya dan bukan seperti didakwa sesetengah pihak hingga memburukkan namanya.

Afreena, 33, berkata, dia perlu mendedahkan perincian penyumbang sebenar kerana derma yang diterima daripada artis dan netizen tidak sampai RM5,000.

Katanya, sebahagian besar dana  lebih RM100,000 yang dikumpul itu datang daripada duit simpanan, derma Siti Jamumall, saudara mara, ibu bapa dan rakan-rakannya.

“Saya perlu tegaskan kerana masih ada yang meragui walaupun polis sudah menahan scammer yang makan duit saya.

Ia bukan seperti dihebohkan. Berdasarkan penyata yang saya simpan sebagai bukti, hasil pengiraan menunjukkan duit orang ramai termasuk dua selebriti sekitar RM4,000 sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad.

Bagi menguatkan lagi dakwaannya, pengurus bahagian kejuruteraan pesawat di sebuah syarikat penerbangan itu memberitahu, pengiraan itu dibuat bersama polis ketika membantu siasatan di mana ia menunjukkan jumlah sebenar ialah RM105,180.

Tambahnya, selepas diteliti, 95 peratus derma yang dikumpulkan itu datang daripada sebelah pihaknya.

Menurut Afreena, dia berharap tiada lagi tuduhan liar mengatakan dia menyeleweng dana tersebut dan berhenti mempersoalkan mengenai tiada permuafakatan antanya dengan keluarga mentua berhubung wang jaminan Along.

Cukuplah saya katakan wujud isu peribadi antara kami, cuma ketika itu saya hanya fikirkan untuk membantu suami,” katanya.

Ujar Afreena, dia masih menyayangi Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, namun tidak dapat menjelaskan beberapa isu termasuk seleweng dan curang kerana suaminya menolak bertemu dengannya.

Kami tidak berjumpa sejak di mahkamah syariah dan hanya sesekali membalas mesej. Hati saya remuk dan kecewa lebih-lebih lagi dia tuduh anak dalam kandungan bukan benihnya,” katanya.

Dakwanya, dia tidak tahu dirinya hamil lapan minggu sehinggalah keguguran selepas berlaku pendarahan teruk mungkin disebabkan stres dan penat.

Tergamak ada menuduh begitu sedangkan hal rumah tangga perlu diselesaikan berdua dengan berbincang,” katanya.

Menurut Afreena, Along mengetahui setiap langkahnya termasuk jadual tugasan yang memerlukannya ke luar negara setiap bulan sepanjang sembilan bulan hidup bersama.

Segala pergerakan termasuk makan tengah hari dan pergi balik kerja saya maklumkan kepadanya. Tidak tahu daripada mana datangnya isu curang,” katanya.

Tambahnya, sikap Along seakan berubah 180 darjah selain tidak mahu melihat hantaran mengenai apa yang diperkatakan oleh lelaki itu terhadapnya dalam media sosial.

Terdahulu, kemelut antara Along dan isterinya itu menjadi sorotan selepas selebriti berkenaan mempersoalkan wang sumbangan rakan selebriti serta orang ramai yang didakwa diseleweng isterinya sendiri.

Afreena kemudian membuat laporan sebelum polis memberkas sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes tipu.

Pada 28 Januari lalu pula, iaitu sehari selepas dilepaskan atas jaminan polis berikutan kes membabitkan ganja, Along bertindak memfailkan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Pasangan itu berkahwin pada 4 April 2020 selepas beberapa bulan berkenalan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok