ANUGERAH Carta 114 melabuhkan tirai dengan kemenangan berpihak kepada kumpulan UNIC, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri nasyid tanah air.
UNIC membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi menerusi lagu Sirih Pulang ke Gagang ciptaan Akmal Mustafa dan Aniq Muhai.
Kejayaan berganda dicapai apabila kumpulan itu turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik, membawa pulang tambahan RM10,000 dan trofi penghargaan.
“Kami sendiri macam tak percaya dengan keputusan ini, tapi yakin dengan rezeki Allah.
“Apa yang membuatkan kami bersyukur, kami sepakat untuk hanya menikmati persembahan malam ini dan menyentuh hati audiens,” kata wakil UNIC kepada HibGlam ketika sidang media Malam Kemuncak Anugerah Carta 114, di sini, hari ini.
Sementara itu, kumpulan Darwish pula meraih anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagu Abu Ubaidah, membawa pulang RM10,000 sebagai ganjaran atas persembahan bertenaga mereka.
“Kami bersyukur walaupun nama kami tidak segah kumpulan lain, tetapi usaha terbaik telah diberikan.
“Ini rezeki yang tidak disangka dan menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti,” kata wakil Darwish.
Anugerah Carta 114 merupakan acara tahunan anjuran TV AlHijrah yang memasuki edisi kedua, bertujuan mengangkat martabat muzik Islamik serta menghargai sumbangan penggiat seni nasyid.
Sepanjang 43 minggu siaran, 49 lagu bersaing sebelum tujuh terbaik mara ke pentas akhir. Sistem pemarkahan menggabungkan undian peminat serta penilaian juri profesional bagi memastikan keputusan adil.
Persaingan sengit dalam kalangan finalis tahun ini jelas membuktikan kematangan serta perkembangan muzik nasyid di Malaysia. – HIBGLAM