Panik diekori, Nora Ariffin minta wanita amal doa pendinding diri

PENYANYI Datuk Nora Ariffin berdepan detik cemas apabila mendakwa dirinya diekori sebuah kereta yang mencurigakan hari ini.

Menurut Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, kejadian tersebut berlaku ketika dia membeli pisang goreng di sebuah gerai di tepi jalan.

“Hari ini saya memandu seorang diri, kemudian saya parkir di tapak tempat letak kereta untuk membeli pisang goreng di sebuah gerai.

Kemudian ketika berjalan menuju ke kereta, saya perasan ada sebuah kereta mengikut saya dari belakang. Saya terus masuk kereta dan kunci.

“Ketika berada dalam kereta, saya perhati kenderaan tersebut ‘block’ kereta saya dan memang tak boleh keluar dari tempat parkir itu,” katanya dalam Instagram hari ini.

Nora bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kejadian tersebut secara terperinci dalam perkongsiannya.

Mengakui panik dan dirinya menggigil ketakutan ketika itu, Nora sempat membaca beberapa doa pendinding diri sebagai ikhtiar mengelak menjadi mangsa perkara tidak diingini.

Saya lihat dari cermin sisi, dia buka tingkap dan nampak dua lelaki berbadan agak besar dalam kereta itu.

“Saya cepat-cepat baca doa pendinding diri dan minta pertolongan daripada Allah SWT.

Seminit kemudian, dia terus pergi dan saya segera tinggalkan tempat itu. Saya ada juga terfikir kalau dia datang dengan kapak atau parang dan buka cermin, apa saya boleh lakukan?” ujarnya dalam nada lega.

Pelantun lagu Secebis Harapan itu turut menitipkan pesanan agar golongan wanita lebih berhati-hati ketika berjalan seorang diri di tempat awam.

“Tadi memang saya hanya berharap kepada Allah sahaja sebab seorang diri. Memang syukur tetapi menggeletar sebab panik.

Moralnya, saya nak pesan kepada kaum wanita  tolong berhati-hati di luar sana, kita tak tahu apa akan terjadi.

“Perlu sentiasa berjaga-jaga, amalkan doa pelindung diri dan anggap itu ikhtiar,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok