Terharu dengan usaha pelajar sekolah menyanyikan lagunya berjudul Nurcinta, penyanyi Amir Masdi mengambil inisiatif melawat Sekolah Kebangsaan Senawang (SK Senawang), Negeri Sembilan baru-baru ini.
Lebih menarik perhatian, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi, 28, sempat ‘belanja’ warga sekolah terbabit dengan dendangan Nurcinta sambil diiringi instrumen yang dimainkan murid.
“Saya nampak ada satu cover (nyanyian saduran) dilakukan budak sekolah dan menariknya mereka menyanyi dengan bermain instrumen.
Saya rasa macam jarang dapat lihat lagu cover yang dibuat sambil main instrumen. Saya rasa terharu dan mahu hadir ke sekolah untuk menghargai usaha mereka.
“Saya pergi ke sekolah itu untuk membuat kejutan kepada pelajar. Saya dan pasukan menghubungi guru terlibat. Mereka yang menguruskan semuanya,” katanya kepada HibGlam semasa tayangan perdana filem animasi Dongeng Sang Kancil, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Aura Kejora itu turut memaklumkan kehadirannya bukan sahaja memberi penghargaan bahkan mahu menyuntik semangat kepada pelajar supaya lebih cemerlang dalam bidang muzik.
“Satu sekolah hafal lagu Nurcinta dan saya nampak usaha guru-guru memberikan pendedahan terhadap bidang muzik dengan baik kepada murid.
Kehadiran saya itu juga bukan hanya untuk menyanyi tetapi mahu memberi motivasi dan semangat buat mereka untuk terus berjaya dalam muzik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular sepotong video memaparkan Amir membuat kejutan hadir ke SK Senawang dan menyanyikan lagu popularnya, Nurcinta yang juga runut bunyi drama Andai Tiada Dia bersama pelajar. – HIBGLAM