TAHUN ini, penggiat seni K-pop menunjukkan taring mereka dengan menjalin kerjasama yang mempamerkan kepelbagaian dan kreativiti unik.
Kolaborasi bersama artis terkenal antarabangsa bukan sahaja memperkasakan lagu mereka
bahkan membantu memperkayakan budaya.
Kerjasama sepanjang 2024 adalah revolusioner, sekali gus membuktikan kuasa muzik dalam memartabatkan budaya serta mendorong kreativiti tanpa sempadan.
Kali ini, Daebak menyajikan kolaborasi K-pop yang sukses sekali gus berjaya menghasilkan karya luar biasa sehingga digilai seantero dunia.
Jungkook & Usher
PEMINAT sudah lama mengimpikan kerjasama antara kumpulan BTS dan pemuzik luar negara.
Tahun ini, ahlinya iaitu Jungkook tampil dengan lagu ‘remake’ Standing Next To You yang menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi Amerika, Usher.
Tidak dinafikan vokal pemilik nama lengkap Jeon Jung-kook menakjubkan dalam versi solo tetapi sentuhan R&B Usher membawa lagu itu ke tahap berbeza.
Mereka mencipta karya agung yang sarat emosi dan membuai pendengar.
Kolaborasi tersebut membuatkan peminat tidak sabar melihat Jungkook meneroka lebih banyak kerjasama menerusi karya R&B yang lebih mencabar.
Rose & Bruno Mars
2024 boleh dikatakan tahun cemerlang buat penyanyi kumpulan Blackpink, Rose yang mendunia dengan single APT.
Lebih membuatkan khalayak teruja apabila lagu tersebut menampilkan penyanyi terkenal Amerika, Bruno Mars.
Dikenali dengan karisma dan vokal lembut, Bruno menjadi nilai tambah dengan gaya persembahan pemilik nama sebenar Park Chae-young yang mempersonakan.
Sinergi mereka membawa sentuhan magis sehingga peminat membanjiri media sosial dengan tarian menggunakan lagu mereka.
RM & Megan Thee Stallion
SELEPAS kejayaan single Butter yang menampilkan penyanyi rap Amerika, Megan Thee Stallion, ketua kumpulan BTS iaitu RM sekali lagi berkolaborasi dengan wanita itu.
Kali ini mereka mempertaruhkan single Neva Play yang mempamerkan gaya berani Megan atau nama lengkapnya Megan Jovon Ruth Pete berpadu vokal dengan RM atau nama nama sebenarnya Kim Nam-joon.
Video muzik yang diilhamkan daripada anime itu menonjolkan lagi tenaga dan keunikan lagu tersebut.
Le Sserafim & PinkPantheress
GABUNGAN sempurna antara Korea dan United Kingdom (UK), kumpulan Le Sserafim dan PinkPantheress mencipta versi baharu lagu Crazy.
Vokal hebat pemilik nama sebenar Victoria Beverly Walker menerusi lagu tersebut melengkapkan lagi kesempurnaan karya asal Le Sserafim.
Satu gandingan mengagumkan malah ramai peminat bersetuju paduan suara mereka menghasilkan sesuatu yang sangat menyegarkan.
Enhypen & JVKE
VOKAL penyanyi Amerika, JVKE dalam lagu XO (Only If You Say Yes) memberi suntikan segar dan menarik kepada persembahan kumpulan Enhypen yang mantap.
Selain lagu, kandungan di sebalik tabir yang dimuat naik dalam media sosial mempamerkan kemesraan yang tulen antara Enhypen dan pemilik nama sebenar Jacob Dodge Lawson.
Perkongsian itu menonjolkan keterujaan dan semangat kerjasama dua nama besar itu yang diterjemahkan menerusi karya rancak berkenaan dengan penyampaian lagu rancak. – HIBGLAM