Wanita yang didakwa memeras ugut pelakon Lee Sun-kyun sehingga membawa kepada kematiannya akhirnya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Jenayah Incheon.
Tertuduh, seorang pengurus pusat hiburan, didapati bersalah meminta wang sebanyak RM180,000 daripada mendiang.
Rakan subahatnya, seorang pelayan pusat hiburan turut menerima hukuman penjara empat tahun atas kesalahan sama.
Hakim Hong Eun-sook menyatakan peras ugut yang dilakukan dua wanita itu menjadi punca tekanan mental mendiang sehingga membawa kepada kematiannya.
“Mangsa terpaksa menanggung beban tekanan mental akibat ugutan mereka, selain menjalani siasatan penyalahgunaan dadah.
“Situasi itu membawa kepada keputusan tragis mangsa mengambil nyawanya sendiri,” katanya.
Terdahulu, aktor berusia 48 tahun itu ditemui mati di sebuah taman di Seoul pada 27 Disember tahun lalu, dipercayai bunuh diri.
Sebelum itu, mendiang membuat laporan polis terhadap kedua-dua wanita berkenaan selepas menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.6 juta.
Ujian dadah yang dilakukan ke atas mendiang sebanyak dua kali membuktikan dia bebas daripada sebarang pengambilan bahan terlarang, sekali gus menguatkan dakwaannya diperangkap tertuduh.