SIAPA sangka di sebalik perwatakan yang ceria dan periang, pelakon Nelissa Nizam menyimpan kenangan yang sebolehnya tidak mahu diingat semula. Menjadi mangsa penderaan sejak umur enam tahun, Nelissa melewati usia remaja dengan parut emosi yang tidak terungkap dek kata-kata.
Biarpun peristiwa hitam itu sudah berlalu, namun dia mengakui tempoh tersebut menjadi perkara menakutkan bagi dirinya. Dengan nada suara dan riak wajah yang bersahaja, Nelissa tidak sedikit pun menyesali apa yang sudah terjadi.
Baginya, setiap garis takdir sudah ditetapkan dan disebabkan itu, dia memilih untuk menjadikan segala apa yang berlaku sebagai pembakar semangat mendepani masa depan.
Penderaan
“Saya melewati pengalaman sebegitu sejak di usia muda. Bukan hal yang baik untuk dikenang, tetapi saya tidak kecewa dengan apa yang sudah berlaku.
“Kejadian itu membuatkan saya bersama adik-beradik lain membesar dengan matang, berdikari dan tahu hala tuju kami termasuk apa yang diinginkan dalam hidup. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih matang daripada remaja seusia lain ketika itu,” ujarnya yang kini sudah berusia 26 tahun itu.
Apa yang berlaku turut membuatkan dirinya lebih peka tentang ciri-ciri lelaki idaman agar hal sama tidak terulang semula.
“Ada rakan memberitahu sifat sebenar suaminya makin terserlah selepas berumah tangga. Dia kerap menjadi panas baran dan marah-marah. Memang susah untuk kita tahu apa yang akan berlaku nanti.
“Sejujurnya saya kalau boleh tidak mahu dekat dengan lelaki yang baran dan sangat mengawal. Lebih baik memilih daripada dapat lelaki seperti ini. Pengalaman lalu mengajar saya tentang kepentingan utama dalam hidup.
“Saya belajar benda yang saya tidak mahu berlaku dalam hidup saya semula dan disebabkan itu saya cuba sedaya upaya untuk enggan membiarkan perkara itu berlaku kepada anak-anak suatu hari ini,” katanya.
Biarpun setiap bicara disusun lembut dan teratur, namun terdengar ketegasan dalam kata-kata yang dilontarkan Nelissa terutama tentang masalah keganasan rumah tangga.
Sejarah
Tidak mempamerkan sebarang reaksi cemas atau kurang selesa, Nelissa kelihatan kuat apabila mengakui dapat ‘menghadam’ semua peristiwa pahit sebelum ini dengan baik tatkala berkongsi ceritanya.
Jelas kelihatan Nelissa mendakap rasa takut atau trauma dan menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan positif.
Biarpun tidak mendapatkan sebarang rawatan profesional atau menjalani proses perubatan, namun Nelissa mampu teguh bertahan hidup.
“Syukur saya bernasib baik kerana mampu keluar daripada kehidupan itu dan menjalani kehidupan seterusnya dengan baik. Saya mungkin sudah melupakan trauma masa lalu, tetapi saya memang tidak suka sekiranya ada melihat lelaki panas baran.
“Pernah sebelum ini saya diperkenalkan dengan seorang lelaki. Jadi waktu itu kami bertemu di sebuah restoran dan berbual seperti biasa. Kemudian saya bertanyakan kepada dia, adakah dia ini seorang yang panas baran, lelaki itu mengaku ada sikap panas baran sedikit.
“Tanpa buang masa saya terus bangun dan tinggalkan lelaki itu terpinga-pinga di restoran. Terus terang saya memang tidak boleh bertolak-ansur. Bukan sahaja soal kekasih, tetapi saya juga tidak suka berkawan dengan mereka cepat naik angin. Saya sangat memilih untuk berkawan supaya orang begini tiada lingkungan saya,” katanya.
Mengaku agak memilih dalam soal sahabat, Nelissa bagaimanapun tidak menutup rapi hatinya daripada berkenalan atau mengenali kawan baharu.
“Saya memang suka berkawan, cuma saya ini akan jenis cepat dapat kesan orang yang tidak ikhlas berkawan.
“Saya memang mudah dapat tahu bahawa orang itu ada menyimpan sesuatu di belakang saya atau ada yang tidak kena,” tuturnya lembut.
Watak utama
Perbualan dengan anak kedua daripada empat beradik itu kemudian terarah kepada kerjaya terutama filem baharunya bertajuk Sahak Gangster yang akan menemui penonton pada 9 Januari tahun depan.
Bekerja di bawah arahan pengarah popular Ahmad Idham, Nelissa gementar menantikan buah tangan baharunya itu kerana naskhah tersebut memperlihatkan dirinya julung kali membawa peranan sebagai watak heroin dalam filem.
Bukan saja itu, malah filem tersebut juga mempamerkan sisi komedi dirinya yang bergandingan dengan aktor Hariz Hamdan.
“Saya memang sudah banyak kali bekerja dengan Ahmad Idham dan kami tiada masalah untuk bekerjasama. Saya juga tiada masalah bekerja dengan Hariz kerana kami mudah rapat sejak awal penggambaran lagi.
“Filem ini memberi saya peluang baharu untuk terlibat dalam pembikinan filem komedi aksi di samping bekerja dengan barisan pelakon senior hebat seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Razak Ahmad, Datuk Ahmad Tamimi dan Acong Sweetchild.
“Walaupun ini filem komedi, tetapi bukan mudah untuk dilakukan kerana saya bukan yang jenis lucu atau buat kelakar. Jadi pelakon senior ini yang banyak membantu dan memberi nasihat termasuk tidak menenggelamkan watak saya,” jelasnya berseloroh.
Sebelum menutup bicara, Nelissa yang membawakan watak sebagai Suriani meletakkan harapan tinggi agar filem terbitan Millennium Megamas itu dapat menjadi satu permulaan indah buat kerjayanya untuk mewarnai tahun 2025 nanti.