‘Ikutkan hati nak guna teknologi hologram’

BUKAN semberono, penyanyi Datuk Nora Ariffin sebaliknya telah terlebih dahulu mendapat izin suami baharunya, Rushdi Ramli sebelum berduet dengan Allahyarham Johan Nawawi menerusi teknologi Artificial intelligence (AI) dalam konsert sulungnya, malam tadi.

Menurut Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 51, pada mulanya dia merancang untuk menggunakan teknologi hologram, namun terpaksa akur dengan kekangan bajet.

“Kalau ikutkan hati memang nak berduet dengan menggunakan teknologi hologram yang akan kelihatan lebih ‘real’. Selain itu saya juga cuba elak daripada timbulnya kontroversi kerana takut menyentuh sensitiviti.

“Jadi kita buat sekadar yang mampu untuk mengingati. Biar orang dapat merasakan kehadiran dia (Johan). Orang kata ada dalam tiada.

“Sebelum saya lakukan tribute untuk arwah Johan, saya telah minta izin suami baharu saya iaitu Dr. Rushdi Ramli terlebih dahulu. Dia bersetuju kerana dia sangat memahami karier saya sebagai seorang penyanyi. Dia juga sangat sayangkan arwah Johan,” katanya kepada Kosmo Online.

Nora turut meminta agar netizen tidak mengecam suaminya kerana masih mengizinkan dia menyanyi.

“Orang selalu kecam suami saya sebab dia seorang ustaz dan mengizinkan isterinya untuk menyanyi.

“Tetapi seperti yang saya katakan suami saya tahu perjuangan saya selama 30 tahun dalam bidang nyanyian. Saya pun bukan menyanyi setiap hari.

“Sebenarnya konsert saya ini hampir tidak dapat dianjurkan kerana ada pelbagai rintangan. Tetapi suami saya yang berikan semangat agar saya teruskan. Dia tahu dia tak boleh jadi macam arwah Johan, tetapi dia masih mahu menyokong saya,” ujarnya.

Dalam konsert yang berlangsung di PJ PAC semalam, Nora menghiburkan 700 peminatnya dengan rangkaian lagu popularnya seperti Di Persimpangan Dilema, Sandiwara, Desa Tercinta, Hanya Satu dan banyak lagi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok