Sepucuk surat jadi coretan terakhir

ISU bunuh diri kerap mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat Korea Selatan, lebih teruk lagi apabila kecenderungan menamatkan riwayat sendiri turut ‘dipopularkan’ golongan artis yang menjadi idola ramai.

Tindakan mereka seolah-olah menunjukkan perbuatan tidak berakal tersebut menjadi penyelesai masalah.

Putus cinta, dibuli, trauma dan beberapa faktor lain antara punca mangsa memilih untuk mencabut nyawa sendiri. Kali ini,

Daebak membawa kisah bunuh diri beberapa bintang Kimchi dikatakan meninggalkan sepucuk surat sebagai coretan terakhir sebelum ‘pergi’.

Goo Hara

PADA November 2019, industri hiburan Korea Selatan digemparkan dengan perkhabaran penyanyi Goo Hara meninggal dunia.

Ahli kumpulan Kara itu turut meninggalkan sepucuk surat sebelum kematian yang didakwa berpunca daripada tekanan dan kesedihan yang mendalam.

Dalam surat yang ditemui di kediamannya, dia mengakui melalui penderitaan emosi tetapi butiran tidak didedahkan bagi menghormati mendiang.

Sebelum kematiannya, pelantun lagu Mamma Mia itu secara terbuka berkongsi tentang tekanan dunia hiburan dan perjuangan peribadinya yang menjadi mangsa buli siber.

Lee Sun-kyun

PADA 27 Disember tahun lalu, pelakon Lee Sun-kyun ditemui meninggal dunia dalam kenderaan miliknya.

Difahamkan, pelakon filem popular Parasite itu membunuh diri selepas pihak polis menemui pemetik api arang dalam kereta yang dipandunya.

Isterinya, Jeon Hye-jin turut menemui sepucuk surat tulisan tangan aktor itu yang berbunyi: ‘Tidak ada cara lain’.

Dalam surat sama, aktor yang meninggal pada usia 48 tahun itu meminta maaf kepada isteri atas beberapa kegagalan yang dilalui, termasuk denda dan penalti filem.

Yoo Joo-eun

DIDAKWA membunuh diri, pelakon Yoo Joo-eun meninggal dunia pada 29 Ogos 2022.

Aktres jelita itu meninggalkan surat wasiat kepada keluarganya yang kemudian dikongsikan abang kandungnya menerusi Instagram.

Dalam surat tersebut, Joo-eun meluahkan kesukaran yang dialami sebagai penggiat seni.

“Saya benar-benar ingin berlakon. Ini mungkin segalanya atau hanya sebahagian daripada diri saya.

Namun, ternyata tidak mudah untuk menggapai semua itu,” tulisnya.

Dalam masa sama, pelakon yang ‘pergi’ ketika berusia 27 tahun itu meluahkan rasa putus asa untuk mengejar impian sebagai selebriti handalan.

Jonghyun

AHLI kumpulan SHINee iaitu Jonghyun meninggal dunia pada Disember 2017 ketika berusia 27 tahun.

Sebelum meninggal dunia, pemilik nama lengkap Kim Jong-hyun meninggalkan sepucuk surat yang mengungkapkan perasaannya berkaitan tekanan hidup dan perjuangannya melawan derita mental.

Surat tersebut sebenarnya diberikan kepada teman baiknya iaitu Nine9 sebelum diminta sebarkan kepada umum selepas dia meninggal dunia.

Antara kandungan surat tersebut, Jonghyun meluahkan perasaannya yang putus asa selain menggambarkan rasa kehancuran yang sangat mendalam.

Mendiang juga mendakwa depresi perlahan-lahan memakan dirinya sehingga dia kalah dalam perjuangan hidup. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok