‘Biarkan prasangka buruk, saya cuma nak kongsi amalan baik’

PELAKON sensasi Ruhainies mengakui enggan peduli andai dilabel menunggang agama oleh segelintir individu hanya disebabkan berkongsi amalan berselawat yang  mendapat sokongan ramai.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, mengakui bersyukur dikelilingi mereka yang positif mahu menyertai misi dilakukannya, sekali gus meneruskan rutin biarpun tempoh 40 hari sudah tamat.

“Kalau nak berprasangka buruk biarkan sahaja, saya cuma mahu kongsi amalan baik dan alhamdulillah saya dapat banyak DM (mesej langsung) yang mahu sertai misi berselawat ini bersama-sama dan ada juga baru nak mula.

Apabila kita jadikan berselawat sebagai rutin, rasa hari tak lengkap kalau tertinggal jadi saya teruskan sahaja sampai sekarang sebab ibu pun sarankan saya buat kerana bukan sekadar dapat pahala malah mampu memberikan ketenangan.

“Sebagai manusia biasa kita tidak lari daripada memikirkan perkara yang kurang elok tetapi dengan berselawat saya dapat lencongkan hal negatif itu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Elegant Night of Beauty di sini, semalam.

Pelakon drama Terjerat itu juga mengakui sentiasa membawa alat zikir digital ke mana-mana yang sudah menjadi ‘teman’ akrabnya sekarang.

Pada masa sama, Ruhainies memaklumkan amalan yang semakin sebati dilakukannya itu bukan sahaja menyuntik ketenangan diri bahkan membawa kepada banyak perkara positif dalam kehidupan mahupun kerjaya.

Alhamdulillah banyak benda positif yang hadir dalam hidup saya sekarang, kawan baharu, rezeki berterusan dan sebagainya.

“Nikmat yang Allah kurniakan ini tentu sahaja saya syukuri kerana membuatkan saya terus beringat dalam meneruskan langkah ini,” ujarnya.

Ditanya pula sama ada dia menghadiri kelas agama sebagai inisiatif, kata Ruhainies, buat masa ini dia cuma mengikuti kelas ilmu secara atas talian.

“Saya ada sertai kelas agama tetapi secara atas talian. Bukan tak nak sertai majlis ilmu sebab ada juga kawan pelawa tetapi saya tak mahu kerana lebih selesa menjaga privasi.

“Kalau boleh tak nak ada kamera (tak mahu menunjuk). Biarlah urusan mengejar ilmu akhirat itu antara saya dan Allah sahaja,” katanya.

Terdahulu nama Ruhainies menjadi antara artis paling panas tahun ini berikutan kontroversi khalwat bersama pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz sekitar Mac lalu.

Berikutan insiden tersebut, aktres terbabit terus berdepan kecaman terutama setiap kali memuat naik hantaran dalam media sosial termasuk amalan 1,000 selawat selama 40 hari yang dilakukan kini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok