FFM33: Semua ‘kualiti’ menang tanpa kira kaum, warna kulit

BUKAN drama cinta konvensional tetapi lari daripada norma namun berjaya memikat hati juri. Itu klimaks manis dicapai filem Imaginur yang berjaya membolot tujuh trofi daripada 15 pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) kelmarin. 

Anugerah berprestij itu juga menyaksikan Malaysia kian terbuka  apabila kemenangan berpihak kepada ‘semua orang’ tanpa dibatasi warna kulit, kaum ataupun kepercayaan. Nilai inklusif FFM semakin lama, semakin melebar menandakan ini satu petanda baik buat industri. 

Bersaing sengit dengan filem arahan Jin Ong iaitu Abang Adik, kemenangan Imaginur sekali gus membuktikan naskhah yang bersifat alternatif mampu berdiri gah sebaris dengan filem ‘blockbuster’ lain.

Enam lagi trofi yang dibawa pulang filem terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. itu  ialah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.

BUKAN kali pertama, kejayaan Imaginur juga mengulang kembali kemenangan Nik Amir (kiri) dalam kategori Filem Terbaik menerusi filem KIL pada FFM26. – FARIZ RUSADIO

Baginya, kemenangan naskhah yang sepatutnya menjalani penggambaran di Jepun itu pada FFM33  membuatkannya semakin bersemangat untuk berkarya dna melahirkan lebih banyak naskhah berkualiti.

“Tipu kalau cakap tak gembira sebab jalan cerita yang diketengahkan Imaginur bukan naskhah yang senang diterima masyarakat, melawan norma.

“Hari ini seperti satu peristiwa yang menggembirakan dan membawa kepada satu semangat baharu untuk terus berkarya dalam industri tempatan.

“Pastinya, kami lebih bersemangat dan selepas melihat penerimaan ramai, harap akan ada lebih banyak karya alternatif, bervariasi serta mampu menaikkan lagi taraf filem Malaysia,” katanya kepada HibGlam.

Dalam kegembiraan tersebut, Nik Amir mengakui tekanan turut dirasainya bagi menghasilkan karya hebat setanding Imaginur pada masa depan.

“Ya, memang tekanan. Sebenarnya sebelum menang FFM33 pun, kami sudah mula berfikir apa yang akan dihasilkan selepas ini. 

“Sebenarnya, Imaginur juga seperti membawa satu harapan kepada kami juga dengan berharap dapat meyakinkan semula pencinta filem tempatan dan mampu membawa mereka ke panggung wayang,” ujarnya. 

Berkongsi kekuatan Imaginur sehingga berjaya mendominasi FFM33 dan mampu mencipta fenomenanya sendiri, penulis skripnya, Redza Minhat berkata, semuanya hasil seluruh pasukan produksi termasuk pelakon, kru dan jalan cerita.

“Sebenarnya banyak faktor tetapi paling kuat ialah kolaborasi semua pihak sepanjang penghasilan Imaginur.

“Kami bukan produksi berskala ‘blockbuster’ tetapi syukur dapat respons yang sangat hebat,” tuturnya. 

Menyedari persaingan sengit dengan Abang Adik, Redza tidak menafikan filem terbitan More Entertainment Sdn. Bhd. bersama New Century Southward Development Co LtD itu mempunyai kekuatan tersendiri terutama isu yang dijual kepada penonton.

“Abang Adik ada kekuatan mereka, isu mereka berat dan elemen simpati sangat kukuh. selain kualiti memang ‘top notch’,” katanya. 

Bonus Abang Adik

Selain Imaginur, Abang Adik yang kini mendunia dengan memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa turut berjaya membawa pulang lima buah trofi termasuklah Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik. 

JIN Ong berjaya melakar kemenangan pertama di festival filem tempatan dengan trofi Pengarah Harapan FFM3.

Bagi Jin Ong selaku pengarah, kemenangan di tanah air sendiri adalah sesuatu yang membanggakan dirinya dan dianggap tuah Abang Adik.

“Saya tak jangka dengan kemenangan ini kerana finalis lain sangat hebat, untuk tercalon sebagai finalis juga bukan perkara mudah. 

“Memang tekanan sebab ramai buat ramalan kami menang filem terbaik tetapi walaupun tewas, kami okey dan akan kembali dengan karya hebat lain.

“Mungkin kali ini saya menang Pengarah Harapan, mana tahu pada FFM akan datang saya membawa pulang Pengarah Terbaik pula?” ujarnya yang menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai inspirasinya.

‘Malaysia pilih saya’

Bangga dengan pengiktirafan yang diraih di tanah air sendiri, pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Susan Lankester, 62, melihat kemenangan itu  motivasi untuk memberikan lebih terbaik dalam lakonannya selepas ini.

MENEWASKAN Diana Danielle, lakonan hebat Susan dalam Rain Town arahan Tunku Mona Riza melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM33./ FARIZ RUSADIO

“Kemenangan ini terlalu sentimental. Saya bangga negara sendiri iktiraf hasil kerja saya menerusi Rain Town. 

“Persaingan juga sengit dan ini merupakan pencapaian yang sangat tinggi bukan sahaja untuk saya tapi industri kita juga,” tutur Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 itu.

FFM33 turut menjadi pentas bersejarah buat pelakon senior, A. Galak, 84, diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang merupakan anugerah pertamanya sepanjang 65 tahun bergelar anak seni.

SELAMA 65 tahun bergelar anak seni, Anugerah Khas Sepanjang Zaman merupakan trofi pertama yang diraih A. Galak.

Mengangkat tema EMAS iaitu Evolusi Sinema Malaysia, FFM33 turut mengiktiraf hasil kerja kru belakang tabir iaitu sinematografer Indera Che Muda sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan.

Dalam pada itu, lakonan hebat menerusi watak antagonis dalam filem Sheriff: Narko Integriti melayakkan Elizabeth Tan membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. 

ELIZABETH berjaya melakar kemenangan pertama di festival filem tempatan dengan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM3.

“Ketika lihat nama tercalon sebagai finalis pun saya rasa seperti sudah menang. Memang tak sangka trofi ini menjadi milik saya.

“Saya masih ada kekurangan dan akan masuk kelas lakonan untuk terus belajar sekali gus memantapkan kualiti diri.

“Saya bukan jenis individu yang anggap diri sendiri sudah hebat selepas memenangi trofi,” katanya lagi.  – HIBGLAM

Senarai penuh pemenang FFM33

Filem Terbaik: Imaginur

Pengarah Terbaik: Nik Amir Mustapha (Imaginur)

Pengarah Harapan: Jin Ong (Abang Adik)

Pelakon Lelaki Terbaik: Beto Kusyairy (Imaginur)

Pelakon Wanita Terbaik: Susan Lankester (Rain Town)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Jack Tan (Abang Adik)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Elizabeth Tan (Sheriff: Narko Integriti)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Qisya Hairulzain (Magik)

Pelakon Lelaki Harapan: Aniq Durar (Pagari Bulan)

Pelakon Wanita Harapan: Trisha Ooi (Janna Endoro)

Lakon Layar Terbaik: Jin Ong (Abang Adik)

Cerita Asal Terbaik: Redza Minhat dan Nik Amir Mustapha (Imaginur)

Sinematografi Terbaik: Rahimi Maidin (Sheriff: Narko Integriti)

Penyunting Terbaik: Johan Arif Mazlan (Imaginur)

Skor Muzik Asal Terbaik: Jackey Yow (Malbatt: Misi Bakara)

Penataan Seni Terbaik: Rabbani Sujak (Imaginur)

Penataan Bunyi Terbaik: Nizam Razak (Mechamato Movie)

Lagu Tema Terbaik: Hasrat – Amir Jahari (Imaginur)

Rekaan Busana / Kostum Terbaik: Elaine Ng (Abang Adik)

Kesan Khas Visual Terbaik: Viper Studios Sdn. Bhd (Sheriff: Narko Integriti)

Tatarias / Solekan Terbaik: Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin & Kua Goh Yoke Eng (Abang Adik)

Poster Terbaik: Walid (Layar Pictures Sdn. Bhd)

Dokumentari Terbaik: Pekik (Stereo Pixels Sdn. Bhd)

Filem Pendek Terbaik: The Missing Trophy (Wayang Works Sdn.Bhd.

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: A. Galak

Anugerah Khas Karyawan: Indera Che Muda

Anugerah Khas Juri 1: Naam Katra Isai

Anugerah Khas Juri 2: Duan Nago Bogho

Filem Box Office: Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw)

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok