PEKA dengan situasi semasa, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sedia membantu anak seni yang berdepan trauma, masalah kesihatan mental atau isu membabitkan kerjaya serta peribadi.
Presidennya, Zed Zaidi berkata, persatuan menyediakan bantuan perkhidmatan kaunseling seperti kes dilalui bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Seniman memandang serius isu keganasan rumah tangga dihadapi Zahnita dan cuba membantu menerusi khidmat kaunselor terlatih bagi meringankan beban ditanggung.
“Bukan hanya pelakon itu, bantuan turut dibuka kepada mana-mana artis yang berdepan trauma mahupun masalah kesihatan mental yang menjadi antara usaha Seniman dalam membantu mereka untuk kembali pulih.
“Jika khidmat kaunselor itu diperlukan, kami sedia menolong mereka yang berdepan situasi sukar itu,” katanya kepada HibGlam.
Menyifatkan insiden menimpa Zahnita sebagai isu domestik, Seniman tidak akan sesekali menutup sebelah mata tanpa menghulurkan sebarang pertolongan.
“Walaupun kes membabitkan Zahnita merupakan hal rumah tangga, pada pendapat saya selagi membabitkan penggiat seni kami tetap memberikan bantuan yang sepatutnya.
Apa yang berlaku kepada beliau tidak sepatutnya terjadi kepada mana-mana wanita bergelar isteri dan seharusnya suami menjadi pelindung keluarga.
“Secara peribadi saya turut terkesan dengan situasi menimpa Zahnita. Keberaniannya merujuk kepada pihak berwajib selepas lama memendam rasa menjadi penyuntik semangat kepada orang lain,” ujarnya.
Sebelum ini Zahnita mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Melalui media sosial, ibu empat anak itu berkongsi gambar dengan kesan lebam di matanya sambil menjelaskan itu punca dia sering memakai kaca mata hitam dalam acara awam.
Berikutan itu, laporan polis dibuat mangsa pada 27 November lalu dan suaminya ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.
Tidak tahan berada dalam rumah tangga toksik, beliau turut memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember lalu. – HIBGLAM