PERNAH menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang usia remaja, pelakon Nelissa Nizam percaya golongan isteri tidak seharusnya menjadikan anak-anak sebagai alasan untuk mempertahankan rumah tangga toksik.
Pemilik nama lengkap, Nelissa Adreena Nizam, 26, itu berkata, membiarkan diri dalam lingkungan toksik demi anak-anak merupakan hal yang tidak masuk akal dan mengundang natijah lebih teruk terhadap psikologi.
Bagi saya jangan jadikan anak-anak sebagai alasan mempertahankan perkahwinan toksik. Tiada guna kerana anak-anak juga akan mendapat kesan buruk dan mustahil untuk berasa bahagia sekiranya membesar dalam lingkungan sebegitu,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon filem Saka Perawan itu turut meluahkan harapan agar wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga berani untuk tampil ke depan dan berusaha menyelamatkan diri serta anak-anak.
“Saya mengharapkan ibu di luar sana supaya memikirkan juga keadaan dan kesan kepada anak-anak. Jangan paksa mereka untuk membesar dalam keadaan sebegitu.
“Bagi saya menyelamat dan melindungi diri sendiri itu penting. Membesarkan anak sebagai ibu tunggal tidak akan melemahkan,” katanya.
Nelissa turut menzahirkan rasa syukur apabila ibunya melakukan tindakan tepat sanggup melalui perceraian akibat tidak tahan lagi hidup terseksa.
Apa yang boleh saya katakan adalah perasaan sangat bersyukur kerana semua itu sudah berakhir dan kami sekeluarga tidak lagi berhadapan dengan pengalaman buruk.
“Dahulu kes keganasan rumah tangga ini tidak ramai yang ambil tahu atau peka terhadap persekitaran mereka. Begitu juga yang berlaku kepada saya dahulu apabila jiran tidak tahu apakah yang perlu mereka lakukan untuk membantu.
Selepas ibu berpisah, kami semua membesar dan belajar untuk hidup berdikari sendiri. Selepas tamat sekolah, kami adik-beradik saling membantu keluarga mencari wang untuk keluarga. Tidak menjadi masalah dan lihat sekarang, kami semua baik-baik saja,” katanya.
Terdahulu Nelissa mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak berusia kanak-kanak. Disebabkan pengalaman masa lalu juga, dia mengalami kesukaran melakonkan beberapa babak melibatkan penderaan fizikal ketika menjayakan penggambaran naskhah drama Bawah Payung Awan. – HIBGLAM