Suami Zahnita diberkas polis

SUAMI Zahnita Wilson,  Abdul Zackery Ghouse ditahan pihak berkuasa selepas pelakon yang juga bekas peragawati itu membuat pendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Bagaimanapun, Wan Mohd Zahari tidak memperincikan tentang penahanan tersebut.

Ya, suspek sudah ditahan,” katanya.

Zahnita atau nama lengkapnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, sebelum ini mendedahkan bahagian mata kirinya lebam akibat dipukul suaminya.

Pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu turut mengakui pernah beberapa kali dipukul sepanjang 10 tahun perkahwinannya dengan Zackery selepas bertanyakan tentang kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Difahamkan, Zahnita yang kini berada di Kuantan, Pahang menanti peguamnya dari Kuala Lumpur bagi membincangkan tindakan susulan berhubung kes tersebut.

Terdahulu, personaliti popular itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.

Dia turut mendedahkan bahawa rumah tangga mereka sudah bergolak sejak penghujung 2011.

Bagaimanapun, ikatan perkahwinan itu dapat diselamatkan dan hubungan mereka kembali pulih.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok