Remuk hati, aktres hilang hak penjagaan anak 

DIRUNDUNG pilu selepas hilang hak penjagaan anak, pelakon Go Hyun-jung mengakui kesal dengan diri sendiri kerana tidak pernah berusaha berjumpa mahupun meluangkan masa dengan dua cahaya mata tercinta.

Terbeban salah sendiri, aktres berusia 53 tahun itu berkata, perasaan sedih yang dirasakan itu sangat menyesakkan sehingga kadangkala susah untuk bernafas.

“Ramai orang tertanya-tanya sama ada saya dapat berjumpa dengan anak-anak saya. 

“Jujurnya, saya tidak pernah tinggal bersama mereka, jadi saya berasa segan dan terasing apabila berada di samping mereka.

“Saya tidak pernah menyedari betapa remuknya hati saya apabila tidak berpeluang bersama mereka. Perasaan kehilangan itu sudah tidak boleh diisi dan sangat menyakitkan,” ujarnya dalam satu rancangan temu bual.

Tambah wanita tinggi lampai itu, dia merasakan dirinya seperti ibu yang tidak bertanggungjawab dan menangisi perkara itu setiap hari meskipun tidak diketahui sesiapa.

“Saya merasakan seperti saya ini seorang yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Saya fikir saya sudah memberikan segala-galanya, tetapi saya menyedari terdapat kebocoran dalam hidup saya. Saya sentiasa menangis tetapi tidak boleh lakukannya di hadapan orang lain,” luahnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok