BENAR penampilan itu sangat penting, tetapi kalau tidak pandai berlakon susah juga.”
Demikian kata primadona filem alaf baharu, Erra Fazira yang menegaskan paras rupa bukan jaminan seseorang pelakon dapat menampilkan lakonan berkualiti.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Chek Wan, 50, berkata untuk bertahan lama dalam industri bakat menjadi sandaran utama diikuti kualiti lain termasuk penampilan.
Kita tidak mahu melahirkan sampah sampah dalam industri.
“Artis perlu ada pesona dan tidak dinafikan ini salah satu cara untuk bertahan lama dalam industri.
Apabila sudah memiliki kelebihan itu, pelakon perlu meningkatkan kualiti lakonan agar kecantikan atau ketampanan yang ada dapat bergerak seiring,” katanya.
Erra berkongsi pandangan itu ketika menjadi panel forum Lihatlah dunia, Trofi FFM (Festival Filem Malaysia) Merubah Hidupku anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.
Tambah pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM15 dan FFM18 itu, selain memperlihatkan mutu lakonan yang baik tidak dinafikan penjagaan penampilan juga penting.
Sebagai pelakon kita memang perlu memberikan hasil kerja terbaik. Tetapi dalam masa sama perlu menjaga penampilan juga. Walaupun sudah berusia, kita perlu menjaga penampilan.
“Bagi saya setiap pelakon ada aura tersendiri,” katanya.
Sebagai info, selain Erra forum anjuran Finas itu turut menampilan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Datuk Rosyam Nor, Fauziah Ahmad Daud dan Maya Karin sebagai barisan panel.
Sementara itu, aktres Ellie Suriaty yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM16 bertindak sebagai moderator.
Forum tersebut bagi membincangkan hala tuju karya tempatan agar dapat bersaing dengan filem antarabangsa. – HIBGLAM