USAHAWAN selebriti Datuk Seri Vida memandang serius isu melibatkan kediamannya yang disita gara-gara tidak melunaskan hutang kira-kira RM1 juta kepada sebuah syarikat kontraktor seperti yang tular hari ini.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, memaklumkan bahawa dia akan memberikan kerjasama selain sudah melantik peguam bagi menguruskan isu tersebut mengikut undang-undang.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.
Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik dan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Selain itu, Vida turut mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan orang ramai berkaitan isu yang sedang hangat diperkatakan.
Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional,” ujarnya lagi.
Petang tadi, kecoh dalam media sosial berkenaan aset seperti barangan rumah, kediaman dan kereta Vida disita selepas gagal membayar hutang pada 2018.
Tindakan sita tersebut dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Vida gagal memberi sebarang respons untuk membayar kembali ganti rugi pada tahun 2023. – HIBGLAM