KAKAK kepada penyanyi Dafi, Nina Ismail Sabri kembali bergelar isteri apabila mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Hafiz Osman, semalam.
Kemeriahan resepsi pasangan mempelai di sebuah hotel di Kuala Lumpur itu dikongsikan Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri menerusi hantaran video dalam InstaStory.
Sedondon menggayakan busana pengantin serba putih, Nina, 37, dan Hafiz masuk ke dewan yang turut diiringi Dafi bersama ibu bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Difahamkan hanya dengan sekali lafaz anak kepada bekas Perdana Menteri ke-sembilan itu sah menjadi isteri Hafiz.
Nina menerima seutas rantai emas sebagai mas kahwin.
Sebelum itu, Hafiz memuat naik sebuah video di Instagram yang memaparkan momen bersejarah ketika melamar Nina.
Ujarnya, pameran seni itu sebenarnya adalah sebahagian daripada rancangan untuk melamar wanita terbabit pada 21 September lalu.
Terdahulu, Nina pernah berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, 6.
Begitupun, mereka memilih bercerai secara baik pada Ogos 2022 yang hanya diumumkan kepada khalayak empat bulan kemudian. – HIBGLAM