REZEKINYA mencurah-curah, tiada siapa sangka nama Elly Mazlein akan memuncak seperti hari ini.
Menyingkap semula, lebih 20 tahun bergelar anak seni, pelbagai ujian pernah dilalui pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi.
Hasil usaha tidak mengenal putus asa, boleh dikatakan Elly kini berada di puncak kerjayanya. Nama dan wajahnya di mana-mana, dia antara selebriti versatil yang ‘laku keras’!
Meski dilihat berjaya meledak dalam dunia pengacaraan ketika ini, Elly tidak pernah melabelkan dirinya sebagai seorang yang hebat apatah lagi disegani ramai.
“Hari ini orang kata saya sudah menyinar dalam bidang pengacaraan, tetapi tidak pernah anggap diri hebat atau rasa gah apatah lagi bersaing dengan hos ternama lain.
Sehingga kini, prinsip yang saya pegang setiap kali naik pentas ialah anggap semua rezeki ini daripada Allah selain berusaha keras untuk puaskan hati semua pihak termasuk stesen televisyen.
“Saya sentiasa percaya dengan konsep rezeki. Apabila peluang sudah dalam genggaman, saya akan beri sehabis baik dan jangan beri hasil yang ala kadar sahaja,” katanya kepada Pose.
Figura yang pernah memenangi trofi Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular (ABPBH) ke-35 itu mengakui sukar untuk memuaskan hati banyak pihak, namun akan terus menikmati semua momen manis yang dimilikinya hari ini selepas menempa nama lebih dua dekad lamanya.
Tiada istilah mendabik dada, Elly bagaimanapun tetap enggan berasa terlalu selesa sebaliknya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada para peminatnya.
“Berada di tahap sekarang, memang susah nak puaskan hati semua pihak.
Untuk berdiri di posisi sekarang bukan mudah, lebih 20 tahun mendaki dan syukur rezeki berpihak kepada saya.
“Namun, apabila renung kembali kepayahan tersebut, pasti akan berikan terbaik. Terlalu lama saya menanti momen ini, namun tidak mahu berasa terlalu selesa dan akan terus mendaki,” tuturnya.
Bercerita mengenai dia yang sering bertukar-tukar watak, Elly berkata, semua itu hanya berlaku di atas pentas sahaja dan tidak menolak adakalanya dirinya juga manusia biasa dan letih apabila perlu kerap melakukannya.
Meski penat, dia akan terus memberi yang terbaik kerana yakin semua itu yang membantu menaikkan adrenalin penonton.
Memang penat dan huru-hara tetapi itu hanyalah karakter untuk menghidupkan sesuatu acara. Paling gembira dan syukur apabila muncul dengan julukan baru, orang ramai menyambut baik.
“Kak Lina Pom Pom, Suraya dan terbaharu, Rashidah Utama. Dengar memang pelik tetapi semua terhibur.
“Terima kasih kepada semua yang sanggup menggilakan dunia mereka dengan saya. Jadi, apa lagi yang saya tak syukur, semuanya sudah lebih daripada cukup,” jelasnya.
Tidak terlepas daripada kecaman netizen, ibu kepada dua cahaya mata itu menganggap semua itu bukan perkara yang perlu diambil kisah.
Enggan memaksa orang ramai untuk meminatinya, dia tetap mahu golongan yang kerap mengkritiknya belajar menerima caranya bekerja termasuk setiap jenaka mahupun gelagatnya sebagai pengacara.
“Selagi klien dan peminat puas hati, saya jalan terus. Semua komen negatif itu perkara biasa, sekadar kata-kata dan tak penting.
Kalau orang tak suka, jangan paksa mereka untuk minat kita. Semua orang ada hak untuk memilih untuk lihat apa yang mereka suka.
“Jadi, berdamailah dengan gedik saya. Suka atau tidak, terima sahaja hakikat tersebut sebab cita rasa setiap orang berbeza,” tuturnya.
Sempat dilayang soalan mengenai dakwaan sesebuah program menjadi hak mutlak pengacara, pelantun lagu Bungaku Bakawali itu membidas perkara tersebut.
“Saya tak setuju orang kata sesebuah program adalah hak milik kekal pengacara tertentu.
Kita semua bekerja dan pengacara sentiasa bertukar ganti. Saya pernah mengendalikan Muzikal Lawak Superstar daripada musim pertama hingga ketiga dan musim keempat pula dihoskan Datuk AC Mizal, saya okey sahaja.
“Pengacara sentiasa bertukar ganti dan tak akan sampai bila-bila akan pegang program itu, macam mana pula hos yang lain?” tegasnya.
Ujarnya, peluang haruslah diberikan sama rata dan setiap pengacara perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan serta pertukaran.
Jadi, peluang mengendalikan sesebuah program terbuka untuk semua orang. Tiada istilah sesuatu program menjadi hak mutlak pengacara tertentu.
“Kita hanya bekerja dan kendalikan rancangan, tempat kita bila-bila masa akan ditukar ganti. Perkara itu yang perlu ditanam dalam diri,” ujarnya.
Isteri kepada Muhammad Azlan Che Nuh yang juga seorang guru itu sempat menitipkan harapan mahu melihat lebih ramai pelapis dalam dunia pengacaraan.
Setiap individu yang yakin dengan bakat sendiri harus berani tampil ke depan dan berani membawa perubahan.
Saya mahu lihat ramai bakat baharu tetapi mereka perlu belajar menjadi diri sendiri, cari identiti dan buat yang terbaik.
“Kalau sudah dapat peluang, lakukan sepenuh hati dengan ikhlas. “Jangan mengejar populariti dan sentiasa belajar,” akhirinya. – HIBGLAM