SELEPAS tujuh tahun diperam, drama kegemaran ramai Tanah Kubur kini kembali untuk musim ke-16 dengan mesej keagamaan yang lebih padat.
Mula ditayangkan sejak tahun 2011, Tanah Kubur yang bersiaran menerusi Astro Oasis merupakan antara drama yang paling lama bersiaran.
Masih mengekalkan pelakon utamanya iaitu Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi, Tanah Kubur musim terbaharu disifatkan lebih dramatik dan ditambah dengan gandingan pelakon undangan hebat bagi setiap episod.
Itu yang dijanjikan pengarahnya, Rashid Sibir yang telah mengarahkan drama popular ini sejak tujuh tahun lalu.
Alhamdulillah selepas ‘diperam’ selama tujuh tahun, akhirnya Tanah Kubur kembali bersiaran untuk tontonan para peminatnya.
“Drama ini sangat sinonim dengan Astro Oasis dan kali ini, saya menjanjikan jalan cerita yang lebih mantap selain mesejnya juga cukup padu untuk mencetuskan rasa keinsafan dalam kalangan penontonnya,” katanya pada sidang akhbar pengumuman drama tersebut, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rashid berpendapat, penerbitan drama bergenre keagamaan seperti Tanah Kubur dilihat sebagai tanggungjawabnya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan bukan mengejar rating semata-mata.
“Sebagai manusia, kita harus beringat bahawa hidup tidak akan kekal lama dan setiap perbuatan buruk yang dilakukan ada pasti ada balasannya.
“Memang terharu apabila drama ini sudahpun memasuki musim ke-16 sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk menerbitkannya dan menyebarkan mesej keinsafan kepada semua,” jelasnya.
Persepsi buruk
Menyedari kewujudan suara-suara sumbang yang mendakwa Tanah Kubur melahirkan persepsi negatif dan ketakutan terhadap mana-mana individu yang ingin mendekati agama Islam, Rashid mempunyai pendapatnya sendiri.
“Saya sedar ada yang berpendapat mesej yang dipaparkan dalam drama ini menakutkan orang ramai. Namun hakikatnya itu adalah kifarah kalau kita lakukan kesalahan.
Setiap babak dan pengajaran yang dipaparkan adalah untuk mencetuskan kesedaran terhadap penonton termasuk saya sendiri.
“Kita ada watak adiwira di luar sana tetapi kurang mengetengahkan hero dalam genre keagamaan. Itu yang hendak ketengahkan kali ini dan sebab itu watak Tok Adi masih dikekalkan sehingga hari ini,” katanya lagi.
Sementara itu, menurut teraju utama Nasir Bilal Khan, penglibatan berterusannya dalam Tanah Kubur bertujuan melunaskan matlamat iaitu berhubung dengan masyarakat menerusi mesej daripada lakonannya.
Dia juga memandang Tanah Kubur mampu membentuk pemikiran masyarakat yang sentiasa mengingati kematian dan kifarah Tuhan jika berbuat dosa.
Tugas sebagai anak seni bukan sekadar menghiburkan tetapi menyediakan santapan rohani kepada para penonton.
“Jadi, Tanah Kubur ini menceritakan matlamat hidup iaitu alam kematian. Jika manusia melanggar hukum Tuhan, balasan akan menanti individu tersebut.
Harapnya Tanah Kubur terus menjadi inspirasi kepada penggiat seni tanah air untuk menghasilkan lebih banyak karya yang mampu membentuk masyarakat lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain watak Tok Adi, Tanah Kubur bagi musim baharu turut membariskan beberapa nama besar seperti Datuk Aaron Aziz, Nad Zainal, Ellie Suriaty, Azri Iskandar dan Bella Astillah.
Tanah Kubur musim ke-16 ini akan ditayangkan setiap hari Jumaat, bermula 11 Ogos ini pada pukul 7.30 malam secara eksklusif menerusi saluran Astro Oasis (106). – HIBGLAM