‘Boleh buat anak macam kawan tapi tetapkan batas’

PENYANYI Nourul Depp mengakui tindakannya melayan anak seperti seorang sahabat adalah salah satu kesilapan yang dilakukan dalam hidupnya sebelum ini.

Menurut Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 47, ibu bapa seharusnya meletakkan batas dalam hubungan tersebut agar tidak terlupa posisi mereka sebagai seorang anak.

“Kesilapan saya ialah buat anak sebagai seorang kawan. Saya tidak meletakkan sebarang garis sempadan dalam hubungan dan itu silap saya.

Boleh jika nak buat anak sebagai kawan, tetapi tetapkan batas bahawa kita adalah ibu bapa mereka.

“Kalau kita tak buat begitu dan tidak mengingatkan tentang batas, mereka akan lupa,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram.

Dalam masa sama, Nourul turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa peka mengenai perasaaan anak-anak sebelum membuat sebarang keputusan.

“Salah satu keputusan saya sebelum ini memberi kesan mendalam kepada anak saya. Dia paling terkesan.

Saya tahu dia mencari cinta dan kepastian dalam hidup.

“Bahkan, dia juga mencari kebahagiaan dia sendiri sedangkan saya sebagai ibu bapa rasa sudah berikan segala-galanya,” katanya lagi.

Sebelum ini, pelakon lagu Kerana Terluka itu pernah meluahkan rasa rindu terhadap anak perempuan sulungnya, Ayu Nazirah.

Nourul juga berkata dia mampu untuk meneruskan kehidupan selepas melepaskan dan menerima takdir yang berlaku dalam hubungan bersama anaknya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok