‘Tak mahu suami datang tengok saya, nanti canggung’

PENYANYI Arrora Salwa lebih selesa jika suaminya tidak datang menonton konsert Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) di mana dia merupakan salah seorang daripada 14 peserta tahun ini.

Menurut Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md Razak, 39, suaminya yang merupakan kapten juruterbang seorang yang  ‘introvert’.

“Suami saya bukanlah orang yang berada dalam industri hiburan. Dia bukan seorang yang banyak cakap seperti saya. Dia seorang yang pendiam.

Nanti akan jadi canggung jika dia hadir menonton. Saya pun akan asyik terfikir keadaan suami saya macam mana.

“Tetapi dia sangat memberi sokongan yang padu untuk saya sertai GV11. Cuma saya beritahu dia boleh tak kalau saya tak nak dia datang menonton konsert itu nanti,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta GV11, baru-baru ini.

Sama-sama bertugas di awan biru, kongsi penyanyi yang popular dengan lagu Ahmad itu lagi, dia dan suami tidak tinggal sebumbung kerana buah hatinya itu menetap di Eropah.

Berkongsi lanjut tentang penyertaannya dalam GV11, kata Arrora dia pernah ditawarkan untuk menyertai program itu pada 2022 namunt terpaksa menolak atas urusan kerja.

“Seperti yang semua tahu saya bertugas sebagai seorang pramugari bersama syarikat Malaysia Airlines.

Ketika itu saya masih menjalani sesi latihan bersama syarikat. Serba salah untuk terima tawaran dan saya buat solat istikarah. Akhirnya saya teruskan dengan latihan sebagai pramugari.

“Tetapi apabila pihak produksi sekali lagi tawarkan peluang ini (GV11) saya terus terima. Kerana kini saya sudah menjadi pekerja tetap di Malaysia Airlines. Dan saya boleh minta cuti tanpa gaji selama empat bulan,” kongsinya.

Untuk rekod Arrora dan suaminya Ahmed Mahfuz telah berkahwin dengan pada Julai 2017. Arrora sebelum itu pernah berkahwin dan bergelar janda selama tujuh tahun manakala suaminya pula merupakan duda anak tiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok