TENANG dan tersenyum, pendakwah selebriti, Da’i Syed tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam sekitar pukul 9.15 pagi bagi sebutan semula kes rayuan atas dakwaan kesalahan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Berpakaian suit biru gelap, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful , 29, yang ditemani dua pengawal peribadi berharap segala proses hari ini dipermudahkan dan berjalan dengan baik.
“Saya mengharapkan semuanya berjalan dalam keadaan baik dan lancar pagi ini, insya-Allah,” katanya ringkas.
Terdahulu, selepas 21 hari berada dalam penjara menjalani hukuman atas pertuduhan merogol seorang wanita, Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 September lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Pada 30 Ogos lalu, Syed sebagai tertuduh ketika itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019. – HIBGLAM
View this post on Instagram